PARA peserta Program KPT Prihatin Komuniti Sejahtera di Kampung Pergau, Matu.
Siri ke3 Program KPT Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS) melalui Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (HPU UNIMAS) diteruskan ke Kampung Pergau, Matu pada bulan Jun 2022 melibatkan lima buah kampung dan dua buah rumah panjang berdekatan.
Umpama Sirih pulang ke gagang. Kehadiran Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, untuk bersama komuniti di Matu menggamit semula kenangan khidmat bakti beliau yang pernah menjadi Pegawai Daerah Binatang (kini Bintangor) pada tahun 1969, sekali guas menjadikan Matu dan Daro adalah sebahagian daripada daerah tersebut.
Kehadiran 48 sukarelawan KRIS UNIMAS yang terdiri daripada staf klinikal dan staf bukan klinikal serta pelajar UNIMAS disambut lebih 200 penduduk kampung-kampung berdekatan seperti Kampung Loga Balu, Kampung Pergau, Kampung Kuala Matu Hilir, Kampung Kuala Matu Hulu, Kampung Halud, Rumah Gangga dan Rumah Baring, untuk mendapatkan khidmat pemeriksaan kesihatan di Dewan Kampung Pergau sejak 8.00 pagi lagi.
Turut diadakan ialah pemeriksaan serta saringan dan bimbingan kesihatan, penyerahan peralatan perubatan, program motivasi, peluang kemasukan ke universiti,penyampaian sumbangan lebih 218 bakul makanan kepada keluarga B40 dan 100 set kit kebersihan kepada pelajar-pelajar SMK Matu.
Hadir bersama Penolong Naib Canselor Kepimpinan dan Pembangunan, Profesor Datu Mohd Fadzil Abd Rahman, Pendaftar UNIMAS, Azlan Ramli, Pengarah Hospital Pengajar dan Pusat Perubatan UNIMAS merangkap Pengarah Program, Profesor Madya Dr Ehfa Bujang Safawi, Pengarah Endowmen dan Wakaf, Dayang Nor Hajijah Awg Daud, sembilan Pegawai Perubatan dan petugas Pusat Kesihatan Bahagian Mukah, Pegawai Daerah, Penghulu, Ketua Kampung dan pegawai-pegawai masyarakat di Matu.
Antara yang menerima sumbangan termasuklah Maribi Tong, 63, yang dahulunya dikenali dengan gelaran “Raja Udang”, namun sejak tiga tahun lepas telah terlantar sakit di rumahnya di Kampung Kuala Matu Hulu.
Beliau kini dijaga oleh isteri bersama kakaknya, menyambung rawatan perubatan setelah terbatas pergerakan untuk mendapatkan rawatan perubatan semasa Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun 2020 lepas.
Penerima bantuan lain di Kampung Kuala Matu Hulu ialah Halimah Rajie, 69, yang diserang angin ahmar pada Oktober 2021 dan Mohd Ainul Iman,20, dari Kampung Halud.
Antara bantuan yang diberikan termasuklah peralatan klinikal seperti susu, lampin pakai buang, kerusi / tandas mudah alih, kerusi roda dan lain-lain lagi.
Sebelum ini, program KRIS telah diadakan di Serian pada April dan di Lundu pada Mei lepas. Siri jelajah komuniti luar bandar ini akan diteruskan ke Nanga Sekeranjik, Sungai Menuan, Kapit untuk bersama penduduk kampung Rumah Kenyalang dan sekitarnya pada 29-31 Julai ini.