PANTAU… Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (kiri) melihat minyak masak bersubsidi
ketika melawat pameran perniagaan pada Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDL KM) Negeri
Sarawak 2022 baru-baru ini. Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri
Alexander Nanta Linggi. • Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Semua pihak diminta untuk tidak menyalah erti tolak ansur kerajaan dalam menangani isu ketirisan bekalan barangan bersubsidi, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Nanta berkata kementeriannya bersama seluruh jentera agensi penguat kuasa kini menggembleng tenaga dalam membasmi ketirisan barang bersubsidi secara habis-habisan.
Katanya, usaha memerangi ketirisan itu akan diteruskan menerusi proses audit dan pemutihan yang giat dijalankan ketika ini.
“Mesej sama ditujukan kepada ‘pengkhianat’ yang mendalangi rangkaian kegiatan penyeludupan dan penyelewengan barang bersubsidi, kami akan cari dan dapatkan kamu. Hentikan sebelum terlambat. Jangan angkara gelap mata dengan keuntungan berlipat ganda, hak orang lain sebagai penerima subsidi sebenar dinafikan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Twitternya mengenai ungkapan “Bukan Semudah ABC” oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa memberi penjelasan berhubung ketirisan barangan bersubsidi dan kenaikan kos sara hidup yang diajukan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini semalam.
Dalam pada itu, Nanta mengingatkan bahawa penggunaan minyak paket dalam polibeg satu kilogram adalah bertujuan untuk membantu golongan memerlukan khususnya B40.
Beliau berkata, minyak berkualiti berharga paling murah di dunia, iaitu RM2.50 itu tidak sepatutnya dibeli oleh pengusaha perniagaan seperti sektor makanan atau pengeluaran produk berasaskan minyak, sebaliknya dikhaskan kepada golongan B40.
Katanya, hal ini kerana, meskipun kerajaan menerusi KPDNHEP mempunyai kuasa mengikut peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961 yang tidak membenarkan penggunaan minyak masak paket untuk kegunaan komersial, namun kerajaan masih mempunyai budi bicara.
“Justeru, kerajaan menerusi KPDNHEP masih mempunyai budi bicara memandangkan pelbagai pihak termasuk penjaja kecil cuba kembali bangkit daripada kesan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu yang masih terasa hingga kini,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menerusi hantaran di Facebooknya berkata, Perdana Menteri telah memberikan penjelasan secara terperinci terhadap soalan yang telah dibangkitkan dalam sesi itu.
“Syabas Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana menjawab (soalan) dengan cukup tenang dan padat dengan menerangkan langkah-langkah kerajaan demi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara, lebih-lebih lagi dalam mendepani cabaran mencabar akibat inflasi yang turut menimpa seluruh dunia pada ketika ini,” katanya. – Bernama