PENGURUS Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia Simunjan (PEDi Simunjan),Mohd Fathihi Fadil GURU Agama Rakyat Gedong,Mohd Faridzuan Abdul Jalil
PROGRAM Duta Komuniti, adalah untuk membantu menyebarkan maklumat tepat dan sahih mengenai isu-isu semasa serta pelaksanaan dasar baharu kerajaan.
Program ini dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 25 Mac lalu bersempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Perlis 2022.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) telah diberi amanah sebagai penyelaras program itu, yang berasaskan semangat kesukarelaan selaras hasrat kerajaan dalam memastikan usaha pembudayaan kawalan kendiri oleh komuniti semasa Fasa Peralihan Ke Endemik berjalan lancar.
Setiap ahli Komuniti Keluarga Malaysia (KKM) berperanan sebagai ejen penting dalam penyampaian maklumat yang lebih berkesan kepada masyarakat khususnya di peringkat akar umbi.
Ini adalah sejajar dengan objektif penubuhan KKM itu sendiri yang menekankan aspek penyampaian maklumat berkualiti, sahih serta berfakta selaras dengan kehendak maklumat semasa yang diterima sama ada melalui media elektronik, media cetak mahupun media siber.
Di Sarawak program itu dilancarkan pada 15 April lalu di Simunjan oleh Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong.
Penganjuran Program Taklimat Isu Semasa Komuniti Keluarga Malaysia oleh Jabatan Penerangan itu adalah tepat pada masanya bagi memperluaskan maklumat tepat dan sahih mengenai isu semasa serta pelaksanaan dasar-dasar baharu kerajaan.
Program itu disertai lebih 50 peserta yang terdiri daripada Ketua Kaum, Ketua Kampung dan juga penduduk kampung di sekitar kawasan Kampung Nanas, Simunjan.
Baru-baru ini, Utusan Sarawak kembali meninjau perkembangan program itu di Simunjan dan nampaknya ketua masyarakat yang diamanahkan sebagai Duta Komuniti memberi komitmen untuk menjalankan tugas masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Nanas Hulu Simunjan, Abang Madehie Abang Junaidi, berkata Program Duta Komuniti ini perlu dimantapkan lagi mengikut kreativiti masing-masing.
“Bagi diri saya, saya sentiasa menyampaikan maklumat dan nasihat kepada penduduk kampung ketika bersama berjemaah di surau dan di dalam majlis-majlis yang diadakan di kampung.
“Laman media sosial seperti Facebook turut saya gunakan untuk memberitahu mengenai sesuatu maklumat penting,” katanya.
Ketua Belia kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N25 Simunjan, Mohd Taufiq Aidel pula berkata, setiap masyarakat hendaklah sentiasa menasihati atau memberitahu orang ramai terutama sekali kepada mereka yang lebih berumur supaya jangan sebarkan berita yang tidak sahih.
Katanya, ada yang menyebarkan berita palsu mengenai isu semasa yang kian menular sekarang dan golongan berumur sangat mudah percaya dan perkara ini perlu diperbetulkan.
Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) DUN Gedong, Maharthir Oyak, berkata maklumat yang sahih dan tepat adalah perkara yang perlu diterjemahkan kerana perkara ini akan menjadi bualan serta renungan semua pihak.
Oleh itu,bagi menangani maklumat yang tidak tepat seseorang itu haruslah mempunyai fakta dan maklumat sahih sebelum diuar-uarkan.
Ini kerana katanya, maklumat yang salah dan palsu mungkin akan menjadi barah yang cepat merebak dalam dunia digital sekarang.
“Dalam menangani perkara ini seseorang itu harus matang untuk menilai isu-isu yang dibangkitkan bagi mengelakkan kekeliruan dan mempunyai rujukan yang tepat sebelum menyebarkan maklumat yang diperoleh,” katanya.
Maharthir berkata, laman media sosial seperti Facebook merupakan media penyebaran maklumat global dimana maklumat yang dikongsikan melalui media ini terlalu cepat untuk disebarkan dan tidak mustahil maklumat yang dikongsikan melalui Facebook akan dikongsikan lagi bersama-sama rakan lain tanpa dinilaikan kesahihan maklumat tersebut.
“Bagi saya berkongsi maklumat di Facebook untuk semua tidak salah tapi biarlah maklumat yang hendak disampaikan atau ditulis itu ada fakta dan sahih bukanya sengaja untuk menyebarkan maklumat yang tiada hujung pangkalnya,” katanya.
APAKAH CARA TERBAIK UNTUK MENGELAKKAN PENYEBARAN BERITA PALSU?
Program Duta Komuniti adalah satu inisiatif terbaik dalam mengekang penyebaran berita palsu terutama melalui platform media sosial.
Pengurus Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia Simunjan (PEDi Simunjan), Mohd Fathihi Fadil berkata, agensi-agensi yang berwajib melalui laman Facebook rasmi mereka perlu aktif dalam memberi pendedahan serta kesedaran impak negatif jika menyebarkan maklumat palsu.
“Sebagai contoh melalui hantaran video dengan tajuk ‘Kesedaran Menyampaikan Maklumat Tepat dan Sahih,’ menghantar poster kesedaran mengenai keburukan menyebar maklumat palsu di laman Facebook rasmi masing-masing.
“Seperti yang kita ketahui, media sosial banyak mempengaruhi kehidupan masyarakat pada masa sekarang. Media sosial adalah salah satu cara yang paling mudah dan cepat untuk menyampaikan sesuatu maklumat secara terus kepada masyarakat. Jadi, Facebook adalah salah satu platform terbaik dalam memberi kesedaran kepada masyarakat bagi penyebaran maklumat tepat dan sahih,” katanya.
Mohd Fathihi berkata, kerajaan boleh memperkasakan lagi program kesedaran di peringkat komuniti dan membuat pindaan terhadap akta penyebaran berita palsu iaitu Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Pelaksanaan, pendakwaan dan penguatkuasaan dengan kerjasama pihak polis dibawah akta ini harus diperkuatkuasakan bagi mengekang penyebaran berita palsu. Penyebaran berita palsu menimbulkan kebimbangan, kekeliruan dan menggugat ketenteraman awam adalah satu kesalahan besar,” katanya.
Sementara itu, Guru Agama Rakyat di Gedong, Mohd Faridzuan Abdul Jalil, berkata sukar untuk mencegah penyebaran berita palsu, namun usaha berterusan harus dilakukan dengan mendidik orang ramai untuk tidak mudah percaya dengan maklumat diperoleh dari sumber tidak sahih.
“Jabatan kerajaan juga memainkan peranan dalam hal ini. Segala dasar kerajaan harus dikeluarkan oleh laman rasmi jabatan kerana kebiasaannya maklumat disebar melalui tangkap layar. Undang-undang penyebaran berita palsu juga harus dikuatkuasakan.
“Hasil kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) juga harus disebarluaskan agar menjadi pengajaran kepada orang ramai. Hukuman pesalah yang sudah didakwa semestinya akan sedikit sebanyak menakutkan orang ramai akibat menyebar berita palsu,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN