OPERASI… Salah seorang anggota bomba memadamkan kebakaran hutan di Casais do Vento yang terletak di
Alvaiazere, Portugal. • Foto AFP
OUREM: Kira-kira 2,800 anggota bomba memerangi pelbagai kebakaran hutan di tengah dan utara Portugal pada Ahad lalu ketika gelombang panas melanda negara itu mendorong kerajaan untuk melaksanakan ‘keadaan luar jangka’.
Kebakaran marak di beberapa kawasan sejak Khamis minggu lalu, memusnahkan sekurang-kurangnya dua rumah dan ampir 250 kebakaran dilaporkan bermula pada Jumaat dan Sabtu minggu lalu.
Kebakaran berlaku ketika gelombang panas yang kuat di Portugal dengan suhu mencecah lebih 40 darjah selsius pada minggu ini dan dijangka meningkat dalam beberapa hari akan datang.
Para saintis mengatakan peristiwa cuaca ekstrem seperti gelombang panas dan kemarau dikaitkan dengan perubahan iklim selain dijangka menjadi lebih kerap, lebih berpanjangan dan lebih sengit pada masa hadapan.
Pada Ahad lalu, kerajaan Portugal mengeluarkan ‘keadaan kontingensi’ kebangsaan, yang meletakkan perkhidmatan penyelamat dalam keadaan berjaga-jaga di bawah keadaan bencana dan keadaan darurat.
Agensi Perlindungan Awam berkata, sekitar 1,500 anggota bomba memadamkan kebakaran di Majlis Perbandaran Ourem, Pombal dan Carrazeda de Ansiaes.
“Kebakaran mencapai 50 meter dari rumah terakhir di kampung itu,” kata pesara Donzilia Marques sambil memberitahu kebakaran berlaku dari Ladang Travessa de Almogadel di tengah Portugal.
“Di atas sana semuanya terbakar,” kata lelaki berusia 76 tahun itu sambil menunjuk ke arah bukit antara rumahnya dan Bandar Freixianda.
Selain itu, lebih 700 askar dihantar ke kawasan itu pada Ahad lalu selepas kebakaran memusnahkan kira-kira 1,500 hektar tumbuh-tumbuhan, kata agensi Perlindungan Awam.
Kebakaran itu mencederakan kira-kira 40 anggota bomba dan orang awam dan kebanyakannya dirawat kerana masalah pernafasan atau keletihan.
Perdana Menteri Antonio Costa membatalkan lawatan yang dirancang ke Mozambique untuk bersama-sama dengan pasukan bomba dan tentera memerangi kebakaran di negara itu.
Kerajaan meminta Kesatuan Eropah (EU) untuk mencetuskan mekanisme perlindungan awam yang sama, yang akan membolehkan Portugal mengakses dua pesawat pengebom air yang ditempatkan di Sepanyol.
“Kami menghadapi situasi meteorologi yang hampir tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Komander Perlindungan Awam Negara, Andre Fernandes pada Sabtu lalu.
Portugal kerap mengalami cuaca ekstrem tahun ini dengan emarau melampau menjejaskan sekitar 28 peratus negara pada Jun lalu.
Pada Mei lalu, 97 peratus negara mengalami kemarau teruk dan satu peratus dikelaskan sebagai ekstrem.- AFP