JEMPUT DATANG … Tan (kanan) menyampaikan surat jemputan kepada Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah untuk penutupan kursus ‘2nd Sarawak Short Course Sprint 2022.’ Turut kelihatan, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Nancy Jolhi.
PENGANJURAN acara sukan antarabangsa merupakan ‘alat yang hebat’ untuk merangsang dan memacu pembangunan ekonomi serta sosial dan komuniti.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sukan telah lama diakui sebagai satu bentuk produk pelancongan kerana setiap kali kejohanan antarabangsa diadakan, dalam beberapa cara penganjur membantu membangunkan industri pelancongan di Sarawak.
“Menyedari potensi dan peluang yang diwujudkan oleh acara sukan, kementerian saya akan sentiasa berada di belakang mana-mana persatuan sukan yang ingin menganjurkan acara antarabangsa dan bersedia membantu apabila ada rancangan untuk mengadakan acara sukan antarabangsa di sini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Karim turut memuji Power Aquatics Swimming Club (PASC) kerana menganjurkan ‘2nd Sarawak Short Course Sprint 2022’ yang akan menyaksikan peserta dari Brunei, Indonesia, Thailand, Semenanjung Malaysia dan Sabah ke negeri ini.
Jawatankuasa penganjur yang diketuai oleh Presidennya, Kapitan Tan Kun Gee mengadakan kunjungan hormat terhadap Abdul Karim di pejabatnya pada Selasa.
Kira-kira 500 perenang dijangka mengambil bahagian dalam acara yang akan diadakan di Pusat Akuatik Pandelela Rinong pada 13 dan 14 Ogos.
Acara itu dianjurkan oleh kelab itu dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan disokong oleh Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan.
Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan berkata acara sukan bukan sahaja boleh menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sukan, malah acara sukan antarabangsa juga akan membantu mempromosikan muhibah antara negara, antara bandar dan peminat sukan.
“Sementara anda (PASC) melihatnya dari sudut persaingan, kami (Kementerian) melihatnya dari banyak sudut. Setiap kali kejohanan antarabangsa diadakan, pelawat asing, atlet asing dan pegawai sukan membawa masuk wang kepada perniagaan tempatan.
“Ini kerana apabila mereka pergi ke negara lain untuk acara sukan, mereka berkemungkinan akan membelanjakan wang. Mereka akan memerlukan penginapan dan pengangkutan yang membawa hasil kepada perniagaan tempatan, dan makanan yang menjadi hasil kepada restoran atau kedai makanan tempatan. Mereka juga akan membeli cenderahati untuk dibawa pulang ke kampung halaman.
“Mereka mungkin meluangkan masa untuk melawat tarikan lain di bandar dan merasai budaya dan sejarah tempatan sambil pada masa yang sama mengambil banyak gambar untuk ditunjukkan kepada keluarga dan orang di negara mereka. Jadi ini akan membantu mempromosikan Sarawak,” ujarnya.
Justeru, beliau memuji kelab dan mana-mana persatuan sukan lain kerana mengadakan acara sukan bertaraf antarabangsa selaras dengan usaha Kerajaan Negeri untuk memacu pertumbuhan industri pelancongan sukan tempatan, sambil menambah Kementerian akan sentiasa menyokong dan membantu pembangunan sukan .
Oleh NUR AIN OTSMAN