PENYERAHAN LOGO… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (kanan) menyerahkan logo baharu Lembaga Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) kepada Pengerusi SEDC Tan Sri Abdul Aziz Husain pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-50 SEDC malam tadi. • Foto BERNAMA
KUCHING: Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) digesa untuk beradaptasi dengan semua perubahan dalam dunia globalisasi kini terutamanya dari segi perubahan iklim dunia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata SEDC perlu melihat perubahan tersebut dari perspektif yang mampu mewujudkan peluang ke arah menjadikan Sarawak menjadi negeri hijau.
“Baru-baru ini saya membaca buku yang ditulis seorang saintis wanita pada 1826 mengenai udara panas di mana beliau menjangkakan dunia akan berhadapan dengan masalah malapetaka berikutan perubahan iklim dunia dan ia menjadi realiti pada hari ini.
“Meskipun ramai yang berpendapat bahawa ia tidak akan berlaku, namun ia telah terjadi pada hari ini dan kini Sarawak sudah memulakan langkah dengan mengurangkan pelepasan karbon dioksida dan kita mahu memainkan peranan ke arah mewujudkan persekitaran hijau,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa menghadiri Majlis Ulang Tahun SEDC Ke-50 di Sarawak Chamber Riverside Majestic Hotel Kuching, di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa SEDC untuk memainkan peranan mereka dalam penghasilan hidrogen terutamanya penggunaan hidrogen dalam pengangkutan awam.
“Sarawak merupakan negeri yang bertuah kerana kita mempunyai banyak air di mana kita dapat menghasilkan hidrogen menerusi pecahan molekul air kepada hidrogen dan oksiden.
“Kita mempunyai empat empangan yang boleh menjadi sumber bagi menghasilkan lebih banyak hidrogen.
“Justeru, saya telah meminta SEDC untuk turut memainkan peranan dengan menggunakan hidrogen dengan sebaiknya di mana kita ingin menambah baik pengangkutan awam kita di negeri ini yang menggunakan hidrogen,” jelasnya yang turut menyatakan Sarawak juga bakal menjalankan lebih banyak penyelidikan mengenai tenaga boleh diperbaharui.
Turut hadir Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz dan tetamu kehormat yang lain serta kakitangan-kakitangan SEDC.
Oleh RYNNA SHA’ERRA