TAKLIMAT Fasilitator dan juga pengiring bagi Kursus Kembara Hijrah sedang mendengar taklimat daripada urus
setia BPP MIS.
SAMBUTAN Maal Hijrah adalah tanda memperingati peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat berhijrah dari Makkah ke Madinah.
Penghijrahan tersebut membawa kepada peristiwa penyatuan kaum Muhajirin dan Ansar.
Pengarah Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak (BPP MIS), Datu Dr. Julaihi Bujang berkata, BPP MIS telah merangka satu program bagi belia Islam untuk menghayati makna hijrah Rasullah SAW.
“Apabila mereka menghayatinya lalu perkara tersebut secara sendirinya akan diaplikasikan dan digunakan dalam kehidupan harian,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Kursus Induksi Kembara Hijrah yang diadakan di Hotel Waterfront bersempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak 2022, di sini, semalam.
Sementara itu beliau berharap kembara ini mampu mengeratkan hubungan antara belia dan para kariah masjid supaya masjid boleh menjadi pusat tumpuan bagi komuniti Islam melakukan aktiviti kemasyarakatan.
“Saya berharap supaya Kembara Hijrah setelah dua tahun tidak diadakan mampu menarik minat belia setempat untuk mengikuti program yang bakal diadakan di lima masjid di bahagian Samarahan, agar objektif Kembara Hijrah ini tercapai,” tambahnya.
Dr. Julaihi juga berkata, bantuan fasilitator yang secara sukarela mahu terlibat dalam Kembara Hijrah ini amatlah dihargai.
Katanya, ini kerana dalam kalangan fasilitator ini, terdapat juga guru-guru yang sudah bersara tetapi masih sedia untuk menyumbang bakti mereka kepada komuniti setempat.
“Tanpa bantuan daripada pihak fasilitator, adalah sukar buat BPP MIS berhubung dengan pihak masjid yang telah terpilih untuk diadakan Kembara Hijrah ini.
“Kebanyakan fasilitator dan pengiring adalah mereka yang berasal daripada kawasan yang sama yang mana Kembara Hijrah diadakan,” jelasnya.
Antara masjid yang terpilih untuk Kembara Hijrah anjuran BPP MIS adalah Masjid An Najah, Asajaya, Masjid Nurul Islam, Kampung Pinang, Masjid Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yaakub, Sadong Jaya, Masjid Baru Sebuyau, Sebuyau dan Masjid Darul Taqwa, Kampung Muara Tuang.
Untuk rekod, pada 16 dan 17 Julai 2022, lima masjid yang terpilih tersebut akan mengadakan aktiviti-aktiviti berserta beberapa bengkel yang menarik kepada peserta.
Oleh FARAEN RAZANI