HIBURAN… Bertandak pada sebuah sesi bergendang.
GENDANG Melayu Sarawak atau dipanggil Segendang di Bahagian Mukah adalah merupakan hiburan turun temurun penduduk setempat.
Namun bagi seorang warga emas di Mukah yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Yien mengatakan ia lebih daripada sekadar hiburan kerana beliau juga menganggap ia sebagai `Ubat Mujarab’ untuk tidur.
Menurut Pak Yien yang mempunyai masalah tidur atas faktor usia, dia akan memutarkan radio untuk mendengar Segendang semenjak lebih sepuluh tahun lalu.
“Saya memang minat segendang semenjak muda lagi, malah saya pernah membeli biola. Oleh kerana segendang itu hanya diadakan semasa majlis perkahwinan dan jamuan kesyukuran di kampung, saya akan tetap mengikuti gendang atau bermukun pada setiap malam sabtu di radio,” katanya.
Selain itu, ujarnya beliau juga akan merakamkan Segendang itu supaya boleh mendengarnya pada bila-bila masa.
“Pada ketika itu saya akan bersedia dengan kaset kosong dan radio kaset untuk merakam segendang dalam radio yang biasanya diadakan pada malam sabtu. Namun radio atau tape saya sudah rosak dan tambah pula semenjak beberaba tahun lalu radiocassete itu tidak ada lagi dijual dan selama itu lah saya tidak mendengar Segendang,” tambahnya.
Selepas itu Pak Yien seolah-olah merajuk dan berpendapat bahawa dia tidak akan mendengar lagi Segendang seperti semasa radio kasetnya masih berfungsi.
Namun, baru-baru ini beliau terkejut apabila salah seorang daripada anaknya menyatakan bahawa program Segendang boleh diperolehi melalui Youtube.
“Pertama saya tak percaya apabila anak saya menyatakan bapa juga boleh mendengarnya melalui You tube. Justeru, semenjak dua bulan lalu saya telah mendengar atau melihat melalui You tube. Yang bagusnya, kini saya boleh mendengarkannya pada bila-bila masa juga. Terutamanya, jika saya merasa susah nak tidur saya pasangkan lagi program bermukun itu,” tambahnya dengan ceria.
Beliau terus menyatakan bahawa Segendang merupakan hiburan yang hakiki bagi mereka pada zaman bujang lagi dan ia tetap menjadi hiburan utama dan percaya perkara sama juga berlaku kepada mereka yang seangkatan dengannya.
Pandangan Pak Yien itu memang benar, kerana beberapa warga emas yang ditemui penulis menyatakan bahawa zaman antara 1950-an hingga 1990-an, bergendang itu adalah satu-satunya hiburan bagi mereka.
“Boleh dikatakan di situ ada acara bergendang di kawasan Batang Oya, muka kami pasti kelihatan. Kami mempunyai kumpulan sendiri yang sekitar dua belas orang. Kita akan bergilir-gilir untuk naik bertandak dan bermukun, iaitu dalam kumpulan empat orang,” kata seorang daripada mereka yang enggan identiti didedahkan.
Penulis telah mengikut perkembangan tersebut semenjak dibangku sekolah rendah lagi setuju bahawa Segendang itu bukan sekadar hiburan buat penduduk di Batang Oya Dalat.
Ada juga yang menyatakan oleh kerana ia adalah satu-satu aktiviti yang amat popular pada zaman kegemilangan Bermukun, ia boleh menghilangkan tekanan atau stres.
Ia sedemikan kerana mereka yang turut bertandak atau berdansa sambil membalas pantun dengan seh gendang pada sesi bermukun menyatakan fikiran terus tertumpu dengan jenis pantun yang bakal diketengahkan semasa berbalas pantun menyebabkan kesakitan itu tidak terasa lagi.
“Malah kalau sekadar sakit kepala sikit kita tetap pergi ke tempat bergendang dan kalau kita yakin untuk bertandak dan bermukun, stres mahupun kurang sihat boleh jadi sihat mungkin kerana masa itu tumpuan adalah untuk membalas pantun yang terbaik mungkin,” kata salah seorang lagi daripada kumpulan tersebut.
Agak menghairankan ialah warga-warga emas ini yang kebanyakan berpendidikan hanya di sekolah rendah namun amat lancar apabila berbalas pantun dalam Bahasa Melayu semasa bertandak.
Kembali kepada pada zaman dahulu, selain daripada sebagai hiburan, ia juga dijadikan venue tempat orang berstatus bujang untuk mencari jodoh.kerana gadis-gadis Melanau pada tahun sebelum 70an jarang keluar rumah kecuali ada majlis-majlis tertentu, jadi masa segendang ini sahajalah mereka akan bergaul dan bertemu dengan bakal-bakal calon mereka.
Bermukun adalah acara berbalas pantun, dan biasa pantun pembukaan adalah dari Seh Gendang dan kemudian dijawab oleh lelaki yang bertandak, dan seterusnya mereka sering berbalas sehingga lelaki itu diganti oleh yang lain yang menyaksikan aktiviti berbalas pantun itu berakhir sehingga subuh.
Namunpun ia adalah semata-mata hiburan, bergendang ini juga ada `taboos’ kerana hendak menghormati agama, jiran-jiran dan situasi misalnya ada berlaku kematian di kampung. Sekarang ini, bergendang pun sudah mulai mendapat tempat dikalangan generasi muda, dan malah program `76 Juh Bermukun Tanpa Henti ‘ anjuran RTM Sarawak telah mencetus era baharu aktiviti hiburan tradisional.
Oleh HENRY B SIYU