WASHINGTON: Sekurang-kurangnya 46 migran ditemui meninggal dunia di dalam dan sekitar treler traktor yang ditinggalkan di tepi jalan di Bandar San Antonio, Texas pada Isnin lalu.
Penemuan itu adalah salah satu bencana terburuk yang melibatkan migran di Amerika Syarikat (AS) dalam beberapa tahun kebelakangan ini selepas insiden sama juga di berlaku Bandar Texas yang terletak beberapa jam dari sempadan Mexico pada lima tahun lalu.
“Pada masa ini, kami menemui kira-kira 46 mayat dan diisytiharkan meninggal dunia” kata Ketua Bomba San Antonio, Charles Hood.
Beliau berkata, 16 orang dihantar ke hospital dalam keadaan hidup dan sedar yang terdiri daripada 12 golongan dewasa dan empat kanak-kanak.
Pada masa sama, tiada butiran awal mengenai umur atau kewarganegaraan migran yang meninggal dunia.
“Mangsa (migran) yang kami lihat panas apabila disentuh, mereka mengalami strok haba, keletihan selain tiada tanda air di dalam kenderaan.
“Ia adalah treler traktor yang disejukkan, tetapi tiada unit pendingin hawa yang berfungsi ,” kata Hood.
Pegawai berkata, tiga orang ditahan berhubung kejadian itu.
“Malam ini (Isnin) kita berhadapan dengan tragedi manusia yang mengerikan,” kata Datuk Bandar San Antonio Ron Nirenberg sambil memberitahu individu terlibat bakal dikenakan tindakan undang-undang.
San Antonio yang terletak kira-kira 250 kilometer dari sempada merupakan laluan transit utama bagi penyeludup manusia selain dicengkam oleh gelombang haba yang memecahkan rekod baru-baru ini yakni mencecah 39.5 darjah selsius pada Isnin lalu.
Kenderaan itu ditemui di jalan berhampiran Lebuhraya I-35, lebuh raya utama AS yang membentang sehingga ke sempadan Mexico.
Operasi kecemasan besar-besaran sedang dijalankan di tempat kejadian melibatkan polis, bomba dan ambulans.
Menurut Ketua Polis San Antonio, William McManus, pihak berkuasa pertama kali dimaklumkan melalui panggilan kecemasan sekitar 5.50 petang dan siasatan diserahkan kepada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Persekutuan.
Gabenor Texas Greg Abbott, seorang Republikan yang menyokong garis keras mengenai imigresen, mengecam Presiden Joe Biden berhubung bencana itu dan menyalahkan dasar sempadan terbuka.
Sementara itu, San Antonio pernah menjadi tapak tragedi migran yang sama pada 2017, apabila 10 orang mati lemas dalam treler yang panas terik dengan pengdingin hawa pecah dan lubang pengudaraan tersumbat ketika mengembara ke AS.
Puluhan lagi dimasukkan ke hospital akibat strok haba dan dehidrasi di dalam trak dipercayai membawa 200 orang, kebanyakannya melarikan diri apabila ia berhenti di kawasan parkir. -AFP