Literasi politik atau pencelikan politik merupakan frasa penting dalam membawa politik yang lebih matang, sejahtera dan bertanggungjawab. Maksud literasi secara tradisional ialah keupayaan untuk membaca dan menulis manakala makna secara luas ialah berkeupayaan atau berpengetahuan dalam bidang tertentu. Apabila sudah wujudnya keupayaan membaca, menulis, mendengar dan bertutur maka ia mampu memastikan keberkesanan komunikasi dalam kelompok dan masyarakat.
Secara tradisi pemahaman literasi politik lebih kepada matlamat pendidikan politik di sekolah, iaitu untuk memastikan warga memahami, dan berpengetahuan dalam menyediakan warga dalam dunia demokrasi. Maka konsep asas ialah pendidikan kewarganegaraan dan pula diikuti dengan tanggungjawab mengundi. Namun selalunya, proses ini tidak mempunyai skop khusus mengenai literasi politik yang lebih menyeluruh, sebaliknya sekadar mengenai syarat untuk mengundi dan pendidikan umum mengenai sistem politik negara. Pemahaman mendalam dalam skop ini hanya dapat diikuti apabila berpeluang mengikuti kursus Pengajian Am di tingkatan enam. Pada tahap tingkatan menengah hanya ditinjau dilihat daripada perspektif pensejarahan semata-mata.
Konsep literasi politik
Dalam konteks literasi politik ia bermakna, keupayaan untuk memahami politik, mengenal pasti bentuk politik, pola politik, pemikiran politik semasa, asas mengenai hak sebagai pengundi, sedar tentang masa depan mereka berada pada tangan mereka sendiri. Pada masa kini konsep literasi politik bukan sekadar mampu membaca bahan-bahan berita semasa semata-mata, akan tetapi ia membawa kepada konsep kemampuan memahami secara kritis, mampu mengesahkan apa-apa maklumat, memberikan interpretasi, perspektif, akhirnya mampu berinteraksi dengan baik melalui penciptaan makna-makna baharu dalam apa-apa juga wadah wacana sama ada secara digital, mediasi teks seperti komik, pamphlet, buku manifesto yang mampu dinilai secara kritis tidak terpedaya dengan ketidaklogika manifesto sehingga akhirnya penggubal manifesto melarikan diri daripada tanggungjawab untuk menunaikannya dan menganggap semata-mata sebagai manifesto bukan kitab suci. Sudah tentu,jangkaan ini berdasarkan konsep makna ini merupakan peringkat tertinggi literasi politik tercapai.
Ruang Literasi Politik
Berdasarkan makna yang diberikan tersebut maka segala keupayaan tersebut penting bagi membolehkan seseorang itu terlibat dalam politik penyertaan sama ada secara langsung atau sebaliknya terhadap proses politik yang melibatkan aktiviti yang dijalankan oleh institusi formal dalam sistem politik. Aspek ini boleh berlaku melalui secara aktiviti kesukarelawanan atau membentuk aktiviti secara bersama bagi mempengaruhi proses pembuatan keputusan dan pelaksanaan termasuk aspek dalam menentukan calon wakil rakyat pilihan mereka secara kritis.
Namun, ini tidak bermakna literasi politik ialah aktiviti supaya seseorang itu mengundi kepada pihak badan bukan kerajaan atau parti politik yang mendatangi mereka. Ia lebih kepada usaha membawa pemahaman kritis dalam proses membuat keputusan. Sekiranya tercapai literasi politik tahap tinggi maka seseorang itu akan memahami perbezaan mengenai konsep-konsep tertentu seperti politik naungan, hegemoni politik dan gerrymandering, malapportionment.
Bagi konsep asas pula pentingnya pembinaan literasi politik dididik di peringkat awal seawal di peringkat sekolah menengah kerana undi 18 tahun sudah bermula. Pada peringkat ini, mereka perlu menguasai konsep asas seperti konsep pengasingan kuasa, perbezaan sistem first-past-the-post dengan sistem perkadaran (proportional representation), rule of law, masyarakat sivil dan sebagainya. Konsep asas seumpama ini penting dididik supaya mereka memahami falsafah dan etika bagi memastikan pemahaman ini meningkat dari semasa ke semasa apabila mereka semakin dewasa nanti.
Kembali kepada asas
Berdasarkan kerja lapangan penulis lakukan pada pilihan raya negeri Johor baru-baru ini tahap literasi politik khususnya kalangan berumur 18 tahun hingga 24 tahun masih rendah. Ketika ditemui golongan anak-anak muda ini sukar memberikan nama-nama wakil rakyat DUN dan ahli parlimen dengan tepat. Ramai memberikan alasan mereka kurang berminat dengan politik, dan selalu mengaitkan politik dengan segala imej negatif, sedangkan mereka sendiri tidak mahu terlibat dalam proses pemilihan dalam bentuk undi. Ini terbukti apabila ramai antara mereka tidak mahu turun mengundi dengan memberikan pelbagai alasan. Kalangan yang pergi mengundi pula kebanyakan mereka bergantung kepada pola pengundi ibu bapa mereka. Mereka masih bergantung sumber kewangan daripada ibu bapa mereka.
Literasi politik sewajarnya mampu membawa warga untuk berminat menjadi peserta demokrasi yang aktif. Tanpa literasi politik mereka hanya akan menjadi sekadar ikut-ikutan sahaja. Apabila wujudnya pemahaman politik yang jelas seseorang itu dapat terlibat dalam mana-mana penyertaan demokrasi dengan lebih baik lagi. Mereka tidak bercelaru dalam menentukan sikap dan pendirian, dapat membezakan politik personaliti dengan politik dinasti, kenal politik kepimpinan tradisional dengan kepimpinan karismatik. Malah tahu membezakan kepimpinan birokratik dengan andanya pencerahan hasil daripada pendedahan terhadap literasi politik.
Maka, ia memboleh mereka menyertakan asas penyertaan politik khususnya dalam membuat proses membuat keputusan mengenai calon paling berwibawa, layak dan karismatik. Kelompok ini nanti tidak terjebak dengan politik wang, politik naungan atau politik warlord atau sebagainya. Pelbagai aktiviti berkaitan membuat keputusan lain yang berlangsung atas nama sesi libat langsung, dialog awam (town hall), jeraya raya politik bagi membolehkan bertanya dan mendapat maklum balas secara langsung dan mampu melontarkan pertanyaan yang kritis dan memastikan sesi tersebut berlangsung sebagai acara ilmu yang bermanfaat kepada semua pihak.
Program literasi politik
Apabila program literasi politik berjaya, maka ia juga membolehkan seseorang mampu memahami, mengkaji dan menilai bidang kerja atai skop yang perlu dilaksanakan oleh badan-badan tempatan kerajaan. Proses perjalanan pelaksanaan projek dapat diketahui dan dipantau dengan lebih baik, Di sinilah segala aspek tadbir urus yang berkesan, kelompangan atau kelemahan institusi awam dapat dibaiki dan dinilai secara kritis. Inilah yang dikatakan sebagai usaha memastikan semak dan imbang berlangsung agar agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.
Pada satu peringkat penyertaan dalam politik dengan literasi politik yang baik akan menjadikan seseorang itu bukan sahaja sebagai pemerhati pembangunan, akan tetapi menjadi peserta pembangunan yang aktif. Ia dapat dilihat apabila timbulnya cadangan-cadangan baru terhadap peraturan, undang-undang, pindaan untuk memastikan kesesuaian dasar atau undang-undang yang baharu dapat memberikan kesan lebih baik kepada masyarakat setempat. Begitu juga penilaian rancangan-rancangan kerajaan tempatan termasuk aktiviti, belanjawaan yang memberikan kesan kepada penduduk. Kesemua ini hanya dapat ditangani dengan lebih baik apabila warga mempunyai pendidikan politik yang mencukupi dan membolehkan mereka menjadikan masyarakat dan negara menjadi lebih baik dan maju.
AKhirnya, nanti semua dapat tersebar secara meluas kalangan warga dan berkembang sebagai sebahagian daripada pendidikan kewarganegeraan sebelum menjurus kepada pembentukan masyarakat sivil yang peka pada segala hak, tanggungjawab, peranan dalam membina sebuah masyarakat yang progresif. Sesungguhnya, demokrasi akan tercabut akar dan roh tanpa literasi politik yang menyeluruh!
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)