DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengetuai ‘gawai toast’ pada Majlis Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Tahun 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di Kuching, malam kelmarin. Turut kelihatan Puan SriDatuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang,Datin Amar Doreen Mayang, Datin Esther Balan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas,Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian dan Dato Gerawat Gala.
KUCHING: Kekayaan pemilikan tanah perlu dimanfaat untuk tuaian hasil lebih tinggi melalui pertanian secara komersial menggunakan teknologi moden.
Premier Sarawak Datuk Patinngi Tan Sri Abang Joahri Tun Openg berkata, masyarakat Dayak yang kaya dengan aset tanah hendaklah mengambil peluang ini.
“Aset tanah ini perlu diberi nilai tambah dan diusahakan secara komersial, sekali gus memberi manfaat kepada pemiliknya.
“Apabila kita bercakap tentang aset, kita percaya orang Dayak mempunyai aset iaitu tanah. Oleh itu, kita tidak boleh membiarkan tanah kita tidak diusahakan.
“Kita perlu memanfaatkannya bagi menghasilkan produktiviti tanah yang baik dan dalam hal ini, pertanian komersial adalah jawapannya.
“Pertanian komersial mesti menggunakan teknologi moden termasuk proses digitalisasi dalam usaha kita untuk menghasilkan lebih banyak makanan dan komoditi lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri Tahun 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam kelmarin.
Abang Johari berkata, memandangkan keadaan dunia sedang menghadapi krisis makanan, untuk Sarawak ia tidak sepatutnya menjadi masalah.
“Berdasarkan saiz tanah kita (Sarawak) ia tidak sepatutnya menjadi masalah dengan syarat kita tahu bagaimana untuk menggunakan tanah dengan baik melalui perancangan struktur dan juga menggunakan teknologi moden,” katanya.
Beliau berkata, Sarawak mempunyai banyak sumber dan sumber itu adalah aset penting kepada pembangunan negeri ini.
“Dari segi ekonomi, aset ini sangat berharga dengan syarat kita tahu mengurus aset ini dan pada masa sama untuk memberi nilai kepada aset yang ada.
“Dalam hal ini juga, kita cuba sedaya upaya untuk menambah nilai kepada pelbagai sumber yang kita ada tetapi pada masa sama kita mesti seiring dengan perkembangan semasa di seluruh dunia.
“Kita tidak dapat hanya melihat kita sendiri tetapi tiap-tiap tindakan kita hendaklah relevan dengan apa yang berlaku di seluruh dunia,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO
Pada majlis itu, Abang Johari turut mengumumkan untuk menambah peruntukan kepada Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) seperti yang dimohon oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Dato Gerawat Gala.