KUCHING: Bengkel penulisan berita untuk pemberita sambilan akhbar Utusan Sarawak memberi ruang kepada mereka yang berminat dalam bidang kewartawanan.
Bengkel sehari itu bagi memberi garis paduan kaedah sebenar menulis berita.
Salah seorang peserta, Suhaimi Rambli, berkata dia sebelum ini pernah menulis pelbagai jenis penulisan tetapi ia bukan secara rasmi seperti penulisan berita.
Dia mengakui suka menulis mengenai cerita yang berunsurkan mitos dan legenda.
“Selain itu, beberapa bahagian penulisan saya iaitu penulisan kertas aktiviti bagi pendidikan alam sekitar juga saya bukukan agar dapat menjadi rujukan orang lain.
“Selain itu, saya mempunyai pengalaman dalam penulisan kertas penyiasatan mahkamah dan jika dilihat dari segi penulisannya, ia ketara sekali berbeza dengan penulisan berita.
“Saya seorang yang suka menerokai sesuatu yang baharu bagi menimba lebih banyak pengalaman dan saya mengambil keputusan untuk menceburkan diri dalam bidang ini bagi merasai sendiri pengalaman turun padang sebagai wartawan dan menceritakan kembali perkara itu kepada orang ramai,” katanya.
Sementara itu, Harry Usup Umbar, berkata dia seorang penulis novel bahasa Melayu keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak.
“Novel yang ditulis pernah memenangi beberapa anugerah dan saya juga merupakan pemenang Anugerah Sastera Negeri Sarawak pada 2017.
“Sebelum ini saya mengajar di beberapa sekolah menengah sebagai guru Bahasa Melayu sebelum menjadi guru Bahasa Iban akibat beberapa sekolah menawarkan subjek Bahasa Iban.
“Selain itu, saya juga pernah menulis lirik lagu dan salah satu lagu penyanyi terkenal Iban, Melissa Francis iaitu ‘Beserara Enggau Ai Mata’ yang saya tulis dinobatkan sebagai lirik lagu terbaik beberapa tahun lalu.
“Saya mula aktif menjadi penulis dalam bahasa Iban pada 2000 manakala saya mula aktif menulis dalam bahasa Melayu dengan menghasilkan beberapa buah novel remaja pada 1998,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA