“Sebenarnya, kita ada mengeluarkan banyak coklat premium dan berkualiti, di Sarawak kita ada (produk coklat jenama) Chelum, selain (jenama coklat) Royal (yang dipantau) oleh LKM (Lembaga Koko Malaysia). Ramai pemain industri (koko) tempatan yang telah meng- eksport dan menjual produk hiliran coklat, sama ada dalam negara, mahupun di luar negara. Malah, biji koko dari Ranau, Sabah turut di- eksport ke luar negara.”-Datuk Willie Mongin
KOTA KINABALU: Kerajaan menggesa usahawan industri koko di negara ini untuk mempergiatkan aktiviti mempromosi jenama produk coklat keluaran mereka agar lebih dikenali oleh masyarakat tempatan, menurut Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin.
Beliau berkata, walaupun banyak jenama produk coklat premium dan berkualiti yang dikeluarkan oleh usahawan industri koko di Malaysia, masih ramai pengguna tempatan yang kurang mengenalinya di pasaran.
“Sebenarnya, kita ada mengeluarkan banyak coklat premium dan berkualiti, di Sarawak kita ada (produk coklat jenama) Chelum, selain (jenama coklat) Royal (yang dipantau) oleh LKM (Lembaga Koko Malaysia).
“Ramai pemain industri (koko) tempatan yang telah mengeksport dan menjual produk hiliran coklat, sama ada dalam negara, mahupun di luar negara. Malah, biji koko dari Ranau, Sabah turut dieksport ke luar negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Koko Malaysia 2022 di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Ravi Muthayah, Pengerusi LKM Rahimah Majid dan Ketua Pengarah LKM, Dr Ramle Kasin.
Willie berkata, kerajaan sentiasa komited untuk membantu penggiat industri koko tempatan memperkenalkan produk keluaran mereka menerusi program jerayawara dan misi perdagangan ke luar negara.
Bagaimanapun katanya, usahawan terbabit tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan, terutamanya dalam aspek mengiklankan secara komersial jenama produk coklat keluaran mereka.
Sementara itu, Willie berkata, kerajaan sedang melaksanakan dua kajian kemungkinan bagi menubuhkan hab perdagangan koko di Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang, Johor serta mewujudkan pembangunan ‘CocoaNexus’ di Seri Iskandar, Johor menerusi Rancangan Malaysia Ke-12.
Beliau berkata kedua-dua kajian kemungkinan yang dijalankan oleh LKM itu, antara lain, melihat potensi dalam mempercepat proses pengisaran koko dan menggalakkan industri pemprosesan hiliran bagi menghasilkan produk koko.
Kajian kemungkinan itu turut dilaksanakan bagi meningkatkan nilai eksport biji koko dan produk akhir koko memandangkan Malaysia mempunyai bekalan koko yang mencukupi, selain menjadi antara pengisar koko terbesar di rantau ini, katanya.
Beliau berkata, sekiranya kajian itu berjaya, ia akan diperluaskan ke negeri lain termasuk di Sabah dan Sarawak.
Mengenai seminar itu yang bertemakan ‘Norma Baharu Sektor Koko Yang Berdaya Saing Melalui Adaptasi Teknologi Pintar’, Willie berkata, ia adalah sejajar dengan hala tuju LKM dalam mentransformasikan pengurusan koko ke arah Revolusi Industri 4.0.
Seminar itu turut berupaya menjadi platform untuk mewujudkan pemahaman yang mendalam berkaitan potensi aplikasi teknologi moden dalam rantaian pengeluaran biji koko yang produktif dan berkualiti oleh semua penggiat industri, katanya mengenai seminar selama dua hari yang bermula semalam. – Bernama