KREATIF… Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Dato Sri Fatimah Abdullah mendengar penjelasan daripada
Zaidel mengenai proses model pengeluaran lemantah di Dalat, semalam.
DALAT: Pekebun-pekebun kecil tempatan digesa mengubah mentaliti bahawa usaha mereka tidak lagi bersifat sekadar untuk menyara kehidupan semata-mata.
Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah(PPPW), Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sebaliknya mereka harus memikir sesuatu yang jauh lebih besar daripada itu.
“Kita harus menukar daya pemikiran selama ini bergantung kepada pertanian yang bersifat kegunaan sendiri sahaja. Ataupun yang lebih mudah dikatakan sebagai ‘kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang’.
“Pertanian dengan mindset `subsistence farming’ atau untuk kegunaan sendiri dan sara hidup sahaja itu harus dilupakan kerana kini adalah zaman kita memikirkan pulangan yang besar dari segi keuntung kewangan,” katanya.
Dr Rundi berkata demikian ketika berucap pada Program Bersama Pekebun-Pekebun Kecil Rumbia dan Nenas sempena dengan Lawatan rasminya ke Stesen Penyelidikan Sungai Talau, Craun Research Sdn Bhd, di sini, semalam.
Ujar beliau lagi, golongan berkenaan terutama di kalangan Bumiputera masih lagi ditakuk yang lama dari segi pendapatan hasil pertanian mereka.
“Saya tidak bersetuju bahawa Bumiputera malas kerana jika malas mungkin kita tidak boleh bertahan sehigga sekarang. Namun oleh kerana permikiran untuk kegunaan sendiri itu masih melekat dengan mereka, membuatkan kita tetap miskin,” kata beliau.
Malah, beliau melihat mereka yang tinggal di pedalaman juga mempunyai senario yang sama kerana tidak mahu keluar daripada zon selesa.
“Subsistence Farming itu juga menjadi sebahagian daripada kehidupan kerana mereka merasa selesa disebabkan di tepi rumah ada sayur dan sebagainya. Dan juga tanah untuk bercucuk tanam, jadi mereka tidak melihat sesuatu yang membolehkan mereka untuk mendapat pulangan yang lebih besar daripada itu.
“Kalau sebelum ini kita mungkin terdedah dengan sosio ekonomi sahaja atau yang penting ada makanan di atas meja. Namun kini, negara kita juga menghadapi masalah ‘Food Security’. Pekebun-pekebun kecil harus mengambil peluang ini untuk menerokai dalam pengeluaran makanan secara besar-besaran dengan mengaplikasikan teknologi-teknologi terkini,” katanya.
Selain itu, tambahnya pemilihan jenis tanaman itu khususnya kelapa sawit antara yang boleh memberi pulangan yang lumayan kerana ia mempunyai bekalan rantaian yang lengkap dari segi pengeluaran sehingga ke pemasarannya.
“Saya juga melihat tanaman kontan boleh diterokai dengan pengeluaran secara besar-besaran iaitu kelapa, nenas, dan pisang kerana ia mempunyai nilai komersil yang tinggi,” katanya.
“Sagu merupakan produk utama pertanian di kawasan Dalat, kata Rundi, kajian harus terus dijalankan terhadap komoditi itu.
“Sagu ini adalah `signature product’ untuk Dalat, dan saya percaya pekebun-pekebun kecil boleh melakukannya melalui kerjasama dengan pemain-pemain utama dalam industri termasuk dari luar negara. Tapi ingat jangan hanya menjadi penumpang atau penonton atas usaha tersebut dan mesti terlibat secara langsung dan seterisnya menikmati pulangan lumayan daripada usaha itu,” tambah Rundi yang mendedahkan bahawa ada rombongan dari Singapura ingin bekerjasama dengan Sarawak dalam bidang agro pertanian itu.
Tambah beliau lagi, usaha berkaitan agro industri makanan ini harus memiliki keyakinan bahawa hasrat untuk menjadi Sarawak sebagai pengeluar atau pengeskport utama makanan pada 2030 boleh direalisasikan jika komuniti bersedia berubah dan mengaplikasikan teknologi atau kaedah pertanian moden yang diaspirasikan oleh Kerajaan Sarawak.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Ahli Dewan Undangan Ngeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Tetap Kementerian PPPW, Datu Edwin Abit, Pegawai Daerah Dalat, Kueh Lei Poh, Pemangku Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat, Ketua Pegawai Eksekutif CRAUN, Zaidell Hussaini dan Pengerusi Persatuan Pekebun Kecil Rumbia Daerah Dalat, Benedict Pon Akie.
Antara pengisian program ialah Taklimat oleh Zaidell Hussaini, Sesi bersama Pekebun-Pekebun Kecil Rumbia/Nanas Dalat, Lawatan ke Booth Mini Pameran CRAUN Research, ke Animal Feed Palletizing, Modern Lemantak Processing Test Bed, Sago Model Plot 19 dan Demonstrasi Sago Log Transporter.
Oleh HENRY B SIYU