WILLIE Mongin
Nama Willie Mongin bukanlah baharu dalam politik kerana sejak tahun 1998 beliau menyertai Pergerakan Keadilan Sosial sebagai sukarelawan dan seterusnya menyertai Parti Keadilan Rakyat secara rasmi pada tahun 2009. Sejak itu, penglibatan Willie dalam perjuangan politik PKR diteruskan dengan lebih aktif.
Situasi ini dapat dilihat apabila beliau mulai mewakili PKR bertanding menentang Jerip Susil pada pilihan raya 2011, namun mengalami kekalahan besar dengan hanya memperoleh undi sebanyak 1007 undi berbanding Jerip yang memperoleh 8093 undi. Meskipun beliau tewas teruk, beliau meneruskan agenda politiknya apabila bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 pada tahun 2013 di kerusi Mambong yang dikenali sebagai Puncak Borneo sekarang. James Dawos Mamit yang mewakili parti PBB menang dengan memperoleh lebih daripada 64 peratus undi.
Pada pilihan raya negeri Sarawak 2016, Willie tanpa putus asa terus bertanding atas tiket PKR bagi melawan Jerip Susil di Dun Mambong dan kali ke-3 beliau tewas dnegan hanya memperoleh 23 peratus undi. Takdir politik mulai kelihatan apabila berlakunya pilihan raya umum 2018. Ketika itu, isu calon yang dikemukakan oleh PBB kurang disenangi oleh akar umbi PBB sendiri. Pemilihan dan pemuktamadan calon oleh pemimpin utama Bidayuh ketika itu, kurang dapat diterima oleh pemimpin akar umbi Bidayuh. Pemimpin utama Bidayuh pula menyakinkan Ketua Menteru Sarawak ketika itu, itulah calon terbaik mereka tanpa mendengar suara keseluruhan akar umbi.
Ketika itu, gelombang Pakatan Harapan di Semenanjung Malaysia sangat kuat, lebih-lebih lagi perkhabaran kuat bahawa presiden PKR dijangka akan dibebaskan dan diampunkan oleh Yang Dipertuan Agong sekiranya PH memenangi PRU 2018. Mahathir pula dijangka menjadi perdana Menteri sementara sebelum Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan perdana Menteri. Ketika itu, isu 1MDB sangat hangat manakala isu GST menjadi modal besar pembangkang untuk menyakinkan rakyat menolak Barisan Nasional.
Sentimen tersebut sangat membuak-buak dan Willie memanfaatkan segala momentum tersebut untuk memenangi kerusi parlimen Puncak Borneo. Kelebihan utama apabila calon PBB dikemukakan kurang mendapat sokongan PBB sendiri, sementara beberapa isu calon digunakan oleh pembangkang untuk menjatuhkan calon PBB di Puncak Borneo. Akhirnya, Willie berjaya menang dengan memperoleh sekitar 54 peratus undi dengan menggunakan tiket parti dan logo PKR.
Kejatuhan PH
Selepas kejatuhan Pakatan Harapan pada tahun 2020, Willie, Azmin Ali dan ahli-ahli parlimen lain nekad meninggal parti PKR seterusnya menyertai Langkah Sheraton. Penyertaannya dalam Langkah Sheraton dan meninggalkan parti PKR ini berbaloi kerana selepas itu beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada tahun sama.
Sudah pasti perjuangan Willie dalam politik PKR yang serba serbi gentir dan mencabar kini berada dalam keselesaan untuk sementara. Hal ini beliau kini sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional. Namun, dalam konteks Sarawak kedudukan ini tidaklah begitu selesa kerana parti Bersatu yang menjadi tempat teduh politiknya bukanlah popular di Sarawak. Tambahan pula, Bersatu dijangka tidak akan bertanding di Sarawak kerana fokus kepada politik di Semenanjung dan Sabah.
Tambahan pula situasi parti Bersatu pada masa kini tidak sama seperti sebelum pilihan raya umum. Ketika di ambang PRU-14, Bersatu mempunyai kekuatan politik apabila Mahathir Mohamad menjadi pengerusi parti Bersatu. Gabungan Mahathir dan Muhiyiddin Yassin serta komponen Pakatan Harapan lain seperti PKR dan Amanah berjaya menarik belasan peratusan undi Melayu dan undi atas pagar dan ini memberikan kemenangan Pakatan Harapan hingga menyebabkan pertama kali dalam sejarah Barisan Nasional tumbang.
Menjelang PRU ke-15
Namun situasi sosiopolitik negara sudah mulai berubah. Yang pertama Perpecahan parti Bersatu bermula dengan penarikan sokongan Bersatu terhadap kerajaan Pakatan Harapan namun terdapat beberapa pemimpin utama seperti Tun Dr Mahathir kekal tidak mahu bekerjsama dengan UMNO dan akhirnya membentuk parti Pejuang. Yang kedua, selepas Muhiyiddin Yassin tidak lagi menjadi perdana Menteri selepas sekelompok pimpinan UMNO menarik diri daripada menyokong Muhiyiddin Yassin.
Kuasa tawar-menawar politik parti Bersatu semakin lemah apabila UMNO kembali memegang jawatan perdana Menteri. Apabila Zuraida keluar dari parti Bersatu, tidak ada tindakan drastik mampu dilakukan oleh Bersatu. Terdapat juga sudah ramai pemimpin pelbagai peringkat mengumumkan keluar parti dan ada pula secara senyap-senyap mulai tidak aktif berpolitik lagi. Tidak kurang pula ada wakil rakyat mereka mengumumkan tidak akan bertanding lagi pada PRU akan datang dan ini dapat dibaca kerana tidak yakin dapat mengekalkan kerusi mereka. Terdapat juga ahli Bersatu kembali menjadi ahli UMNO dan keluar dari Bersatu.
Situasi Politik Sarawak
Apabila Willie Mongin mengesahkan bahawa beliau telah memohon untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang merupakan sebuah parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) sejak beberapa bulan lalu, namun belum ada apa-apa keputusan. Sudah pasti terdapat beberapa persoalan dan perspektif berkaitan menarik untuk dikaji. Keobsesan beliau untuk menyertai PBB sehingga beliau mendakwa bahawa tidak pernah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tetapi hanya “diparkirkan” dalam parti itu untuk menyokong kerajaan yang sedia ada.
Sudah tentu dakwaan ini akan dianggap sebagai usaha untuk mencari dahan politik yang lebih ampuh bagi mengekalkan kedudukan sebagai wakil rakyat. Agak sukar untuk Willie memenangi PRU akan datang menggunakan tiket parti Bersatu atau bebas. Musuh politiknya kini ialah pengundi seramai 18,865 yang mengundi beliau sebelum ini atas tiket dan logo PKR. Sudah pasti, penyokong PKR dan PH di Puncak Borneo akan menentangnya habis-habisan kerana telah mengkhianati mandat pengundi. Manakala di pihak penyokong PBB yang telah menolaknya dengan sejumlah 14,860 undi di Puncak Borneo sudah pasti menolak jika Willie dicalonkan semula atas tiket PBB, GPS mahu pun calon langsung.
Tidak menjadi isu jika sekadar menjadi ahli biasa dan dinilai dahulu bukti kesetiaan dengan syarat seperti tidak boleh memegang mana-mana jawatan dalam parti selama 2 penggal sebagai bukti kesetiaan kepada PBB. Ini juga memberikan pengajaran kepada mana-mana ahli politik agar setia kepada parti dan tidak bersikap oportunis, ketika parti lemah parti ditinggalkan manakala ketika parti kuat barulah menggunakan pelbagai alasan terus jadi wakil rakyat untuk elak hilang kuasa dan kedudukan.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)