PERASMIAN… Hazland Abang Hipni menyerahkan iPad kepada Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai simbolik merasmikan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Kuching, semalam. • Foto HERRIEY NAHA
KUCHING: Sarawak menjangka mengurangkan jejak karbon daripada pengangkutan darat di negeri ini sebanyak 15 peratus pada tahun 2030 dengan sistem pengangkutan bersepadu yang mesra alam.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan Sarawak untuk tenaga bersih, mengehadkan pemanasan global dan mencapai sifar pelepasan karbon.
“Pengangkutan memikul tanggungjawab besar untuk keadaan semasa. Sektor ini menyumbang kepada hampir satu perempat daripada pelepasan gas rumah hijau berkaitan tenaga global.
“Di bawah senario perniagaan seperti biasa, angka ini akan terus meningkat untuk mencapai satu pertiga daripada semua pelepasan menjelang 2040,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.
Jelas Abang Johari, Kerajaan Sarawak memperkenalkan bilangan bas berkuasa hidrogen pada 2020 untuk menangani pelepasan Gas Rumah Hijau dari sektor pengangkutan
Katanya, kerajaan sedang dalam proses memperkenalkan Transit Aliran Rel Autonomi (ART) berkuasa hidrogen, sistem kereta api tanpa rel yang direka untuk digunakan untuk orang awam.
“Kerajaan juga melaksanakan Sistem Lampu Isyarat Pintar di 42 persimpangan di Kuching dan daerah sekitarnya.
“Data trafik digunakan untuk operasi lampu isyarat bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, masa perjalanan dan pelepasan Gas Rumah Hijau.
“Dengan sistem pengangkutan bersepadu yang moden dan mesra alam, kami menjangkakan jejak karbon daripada pengangkutan darat di Bandar raya Kuching akan dikurangkan dengan ketara sebanyak 15 peratus menjelang 2030,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak sedang membina 600 menara telekomunikasi di bawah projek telekomunikasi luar bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) untuk menyediakan kesalinghubungan (connectivity) kepada masyarakat luar bandar.
Katanya, Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART) 600 Fasa 1 (300 menara pertama) disasarkan siap menjelang 2022 dengan Fasa 2 (300 menara kedua) menjelang 2023.
“Selain itu, Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) akan diperluaskan merentas semua infrastruktur SMART 600 dan bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar rumah untuk 100,000 rumah luar bandar dalam beberapa tahun akan datang.
“Kerajaan Sarawak baru-baru ini telah menyiapkan Rangkaian Jalur Lebar Terbuka Berkelajuan Tinggi Luar Bandar Sebauh.
“Projek ini melibatkan pembesaran kabel gentian optik untuk menghubungkan 49 rumah panjang, enam sekolah, dua institusi pengajian tinggi, dan tiga pejabat kerajaan di Daerah Sebauh,” ujarnya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO