PERCUBAAN… Pemain Selangor FC Herlison Caion De Souza Ferreira membuat cubaan ke gawang gol ketika menentang Sarawak United FC pada Perlawanan Bola Sepak Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam.
AKSI pertama Brendan Gan musim ini ternyata menyuntik semangat pemain Selangor FC untuk membelasah Sarawak United 7-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam semalam.
Pemain tengah yang kembali bermain selepas berjuang dengan kanser testis yang dialaminya sebelum ini, pemain berusia 34 tahun hanya memerlukan tujuh minit untuk menggegar gawang Sarawak pada aksi terbabit.
Kehadiran semula pemain berdarah kacukan itu pasti memberikan lebih pilihan buat pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon dalam menyediakan jentera tengah bagi menghadapi saingan Piala Asia 2023 nanti.
Selepas ketinggalan seawal minit keenam, Sarawak cuba bangkit melancarkan beberapa serangan namun tidak begitu efektif untuk mengubah peluang yang dicipta kepada jaringan gol.
Tuan rumah sebaliknya terus selesa apabila sepakan sudut Mukhairi Ajmal ditanduk masuk Hyuri Henrique sekali gus menukar kedudukan kepada 2-0 selepas 22 minit perlawanan.
Selangor terus ‘mengganas’ apabila merobek gawang pelawat buat kali ketiga di penghujung babak pertama, kali ini menerusi Herlison Caion yang menyudahkan hantaran Hein Htet Aung untuk gol ketujuhnya pada musim ini.
Memasuki babak kedua, Selangor tidak bercadang untuk berbelas kasihan sekalipun berkelebihan tiga gol dalam tangan apabila pemain gantian, Nor Hakim Hassan membuatkan Sharbinee Alawee ‘terduduk’ buat kali keempat pada minit ke-50.
Tidak puas dengan empat jaringan yang diperolehi dan memberikan malam yang pasti mahu dilupakan pelawat, kenduri gol diteruskan apabila Caion menyumbat gol kelima tuan rumah pada minit ke-73 sebelum melengkapkan hatriknya pada minit ke-87.
Kedudukan 6-0 hanya bertahan lima minit selepas Aliff Haiqal menjadikan kedudukan seperti perlawanan futsal buat Selangor dengan gol ketujuh di penghujung permainan.