LAWATAN TAPAK…Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Stephen Rundi Utom mengadakan lawatan kerja ke Taman Agro Pertanian Sungai Baji yang turut disertai oleh Timbalan Menteri
Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh pada 28 Mac lalu.
KONSEP Taman Agro Pertanian Sungai Baji adalah untuk mewujudkan “smart farming” serta sebagai destinasi para pelajar mempelajari berkaitan pertanian selain eko pelancongan yang mana Sarikei sudah terkenal sebagai pengeluar hasil pertanian.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, Taman Agro Pertanian Sungai Baji terletak lebih kurang 5.2 kilometer dari bandar Sarikei dengan keluasan 127 hektar.
“Objektif projek Taman Agro Pertanian menyasarkan golongan petani utama dan kontrak melalui sektor pertanian bagi meningkatkan pendapatan petani tempatan dengan bercucuk tanam melalui sistem “smart farming”.
“Ia juga untuk membantu petani menembusi pasaran global melaui perkongsian pintar bersama sektor swasta dengan mempromosikan pertanian pintar bagi meningkatkan penyertaan dari kalangan belia tempatan menyertai bidang pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyertai lawatan kerja Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Stephen Rundi Utom ke Taman Agro Pertanian Sungai Baji pada 28 Mac lalu.
Katanya, lawatan tersebut adalah bagi meninjau sendiri perkembangan terkini Taman Agro terutamanya dari segi infrastruktur yang diperlukan, penambahbaikan, perancangan program-program yang sesuai bagi menambah pendapatan dan manfaat penduduk setempat.
Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak bercadang untuk menjadikan Taman Agro Pertanian Sungai Baji sebagai tapak pengeluar hasil pertanian dimana kaedah penanaman produk tani menggunakan teknologi moden.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, susulan cadangan tersebut, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak sedang melakukan penilaian terhadap aspek penting yang diperlukan di tapak projek Taman Agro Pertanian Sungai Baji.
“Taman Agro Pertanian yang berkeluasan 127 hektar ini akan dijadikan sebagai pengeluar hasil pertanian dan sekali gus menjadi ikon tanaman pintar di Sarawak.
“Tujuan lawatan saya adalah untuk melihat keperluan dari segi utiliti dan telekomunikasi yang diperlukan oleh projek Taman Agro Pertanian ini,” katanya ketika menjalankan lawatan kerja dan tinjauan ke tapak projek Taman Agro Pertanian Sungai Baji pada 02 April lalu.
Tambahnya, projek ini memerlukan bekalan air dan elektrik yang mencukupi dan sistem telekomunikasi yang boleh digunakan.
“Menara telekomunikasi diperlukan di Taman Agro Pertanian ini, oleh itu saya telah membawa bersama semua ketua jabatan dan pengarah yang berkaitan untuk bersama-sama mendengar dan melihat sendiri keperluan utiliti dan telekomunikasi yang diperlukan oleh pihak pengurusan Taman Agro Pertanian yang diuruskan oleh pihak Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).
“Mereka akan menjadi sebahagian dari jawatankuasa penyelaras untuk membincang bagaimana hendak melaksanakan keperluan utiliti dan telekomunikasi di kawasan ini.
“Saya telah memberi arahan supaya semua keperluan ini diluluskan untuk membolehkan perancangan ini menjadi realiti,” ujarnya.
Jelasnya, pertanian adalah dibawah Kementerian Pertanian.
“Jadi kita sokong dari segi utiliti dan telekomunikasi yang diperlukan,” katanya lagi.
Baru-baru ini, turut kedengaran perkhabaran gembira buat penduduk tempatan di pulau seberang Sarikei yang kebanyakan mereka bekerja sebagai petani.
Len Talif yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N41 Kuala Rajang berkata, Taman Agro Pertanian yang kedua dibahagian Sarikei bakal dibangunkan di kawasan seluas 4,000 hektar di pulau seberang Sarikei.
Katanya, kawasan tersebut meliputi Bukit Huang, Parit Bugis dan Muara Payang.
“Taman Agro Pertanian yang bakal dibina ini merupakan yang kedua di bahagian Sarikei selepas Kerajaan Sarawak membangunkan Taman Agro di kawasan Sungai Baji.
“Kawasan ini memang sudah terkenal dengan potensi pertaniannya terutama sekali di Bukit Huang, di Parit Bugis dan kawasan ini juga dikenali sebagai kawasan Muara Payang,” ujar beliau.
Katanya lagi, kebanyakan penduduk di Muara Payang berbangsa Iban, Bukit Huang berbangsa Cina dan Parit Bugis, berbangsa Melayu.
“Apa yang telah kita rancangkan dan kenalpasti ialah kawasan seperti pulau ini, seluas 4,000 hektar sebagai Taman Agro yang kedua di bahagian Sarikei,” katanya ketika ditemu bual oleh para pemberita di Rumah Muli sempena Majlis Pengerami Ngiling Tikai Gawai 2022, baru-baru ini.
Katanya, kawasan yang bakal dibangunkan sebagai Taman Agro Pertanian itu juga akan dibangunkan dengan infrastruktur lengkap seperti jalan raya, parit dan ban.
“Dari segi perancangan jangka panjang, kita telah mendapat kelulusan untuk membangunkan ban dan jalan raya yang akan menghubungkan pulau ini dengan bandar Sarikei.
“Dari segi perancangan jangka panjang juga, kita sudah berbincang dengan pihak yang berkepentingan ataupun Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membangunkan jambatan yang panjangnya 300 meter merentasi batang Rajang,” ujarnya.
Tambahnya lagi, pembangunan jangka panjang yang dirancang ini akan memberi impak besar kepada penduduk di sekitar kawasan tersebut.
Oleh EARL ANEK