REGATA Sarawak telah diadakan sejak 1871.
Sukan merupakan satu aktiviti yang mewarnai sejarah negeri Sarawak. Ini kerana sukan menjadi alat penting untuk perpaduan dan perdamaian dicapai di Sarawak. Regata yang dijalankan oleh Sarawak sejak berzaman menunjukkan satu usaha mengikat kesepaduan masyarakat di Sarawak.
Manakala sukan-sukan antarabangsa lain yang dibawa ke Sarawak juga mula diharmonikan dengan masyarakat tempatan. Bola sepak misalnya menjadi satu pelawanan yang pada asalnya untuk meluangkan masa lapang telah menjadi sukan diminati oleh semua penduduk Sarawak. Tenis juga mula mendapat tempat dalam kalangan penduduk Sarawak.
Tambahan daripada itu muncul juga sukan olahraga yang mula berakar sejak pemerintahan keluarga Brooke. Sukan ini tidak begitu popular pada peringkat awalnya jikalau dibandingkan dengan sukan yang disebut di atas.
Peringkat Sekolah
Pada asasnya perkembangan sukan olahraga di Sarawak banyak digerakkan oleh pihak sekolah. Salah satu usaha mengerakkan sukan ini di sekolah telah dijalankan oleh pengurusan sekolah St Joseph, Kuching. Pihak pengurusan sekolah tersebut telah mengadakan sukan sekolah pada September 1935. Pelbagai acara olahraga telah dijalankan seperti larian 100 ela (yards) dan 220 ela (yards) dalam pelbagai kategori. Lari berpagar juga dipertandingkan dalam pelbagai kategori. Bagi acara padang pula adalah lompat jauh, lompat tinggi dan lompat galah dalam pelbagai kategori. Kejohanan sukan sekolah ini juga memasukkan pelbagai acara lain yang bukan melibatkan olahraga seperti lumba basikal, menyepak bola dan mencari wang syling.
Orang Melayu di Kuching juga pernah mengadakan sukan olahraga untuk pelajar sekolah. Acara sukan ini diadakan pada 29 April 1937 yang dinaungi oleh Dato Patinggi Abang Abdillah dan L. E. Le Sueur. Selain lumba lari terdapat beberapa lagi acara lain diadakan seperti lumba membaling batu, lumba memungut kelapa dan lumba memungut ubi (untuk perempuan sahaja).
Sementara itu Orang Cina di Kuching juga telah menganjurkan sukan olahraga pada tahun 1935. Acara sukan olahraga ini dijalankan untuk meraikan Hari Kebangsaan China. Seramai 120 kanak-kanak perempuan dan 320 kanak-kanak lelaki telah menyertai sukan olahraga tersebut.
Pada tahun 1928 sempena ulangtahun kelahiran Raja Vyner Brooke, acara olahraga juga pernah dijalankan. Pada hari sambutan tersebut sekolah-sekolah dijemput untuk menghantar wakil mereka dalam sukan olahraga. Aktiviti sukan olahraga ini diadakan pada 26 September 1928 di Padang SPG, Kuching. Sebanyak 25 acara sukan olahraga dijalankan pada hari sambutan kelahiran Raja Vyner Brooke.
Dari segi penyertaan atlit Sarawak dalam kejohanan olahraga antarabangsa telah ada beberapa penyertaan atlit ini di peringkat tersebut. Sukan Orang Cina Tanah Melayu pada tahun 1931 di Singapura misalnya pernah menjemput wakil Sarawak dalam kejohanan tersebut. Dalam sukan tersebut dua orang wakil Sarawak telah menyertai kejohanan tersebut. Namun demikian ia membawa kepada kritikan kerana wakil tersebut tidak mewakili mana-mana kelab atau sekolah. Tambahan daripada itu wakil yang mewakili Sarawak tersebut bukanlah pilihan terbaik kerana ramai lagi atlit olahraga berbakat di Sarawak.
Disegani
Selepas perang aktiviti sukan olahraga ini semakin menyerlahkan bakat-bakat anak Sarawak. Pada masa itu terdapat beberapa nama atlit sukan tempatan yang mempunyai skil kesukanan yang tinggi. Malahan mereka ini dianggap sebagai saingan utama kepada atlit olahraga luar negara.
Salah seorang daripadanya adalah Latif Olen. Beliau merupakan pelari yang disegani oleh lawan. Apabila beliau disenarai sebagai pelari Sarawak dalam Singapore Amateur Athletic Association Championship di Farrer Park pada tahun 1962, beliau dikatakan sebagai pencabar pelari 800 meter yang berpotensi memenangi acara tersebut. Ini berdasarkan kepada pencapaian beliau dalam Sukan Borneo yang mana beliau telah melakar sejarah dengan kepantasan 1 minit 57.5 saat dalam larian 880 ela (yards), bersama dengan 1 minit 56.6 saat untuk 800 meter.
Walau bagaimanapun dalam acara tersebut Latif Olen hanya menduduki tempat kedua selepas pelari dari Borneo Utara (Sabah) iaitu Ajiab Singh Maan. Manakala pelari tuan rumah iaitu David Bell gagal mengatasi kehebatan Latif Olen. Seorang lagi saingan beliau iaitu Kenneth Perera dari Tanah melayu terpaksa akur dengan kedudukan ketiga.
Lari Berpagar
Dalam acara lari berpagar 110 meter pula muncul seorang pelumba Sarawak yang mendominasi acara tersebut iaitu Kuda Dita. Beliau berjaya mendapat tempat pertama dalam cara tersebut di Singapore Amateur Athletic Association Championship. Beliau berjaya menewaskan pelari harapan Singapura untuk Sukan Asia iaitu Wong Fey Wan.
Kehebatan Kuda Dita ini diakui jurulatih dari Amerika Syarikat iaitu Tom Rosandich. Sumbangan Kuda Dita ini juga membawa kejayaan dalam lumba berganti-ganti 4 x 100 meter. Beliau bersama-sama dengan W. Chia, J. Lee dan M. Lee mengatasi pasukan-pasukan negara lain. Sebelum itu Kuda Dita telah menunjukkan kecemerlangannya apabila menyerlah dalam Sukan Borneo (1961). Beliau memenangi acara lari berpagar untuk 120 ela dengan rekod baharu. Dalam sukan itu juga rakan senegeri beliau iaitu William Lee memecah rekod dalam larian berpagar untuk 220 ela.
Selain beliau terdapat dua lagi nama yang tidak asing lagi dalam sukan lumba lari ini seperti Kadam Kiai dan Lau Suan Ling. Manakala nama-nama seperti William Minggu dan Rosalind Anding pula menyerlah dalam Sukan Borneo pada tahun 1960. Kedua-dua pelari Sarawak ini berjaya memecah rekod dalam sukan tersebut.
Acara Padang
Atlit Sarawak juga tidak kurang hebat dalam acara padang. Nama-nama seperti Joseph Lee, Chen Li Na dan Leong Chin Hin merupakan antara nama atlit Sarawak yang disegani. Joseph Lee juga seorang pelari dan pada masa yang sama merupakan atlit lompat jauh. Beliau pernah dipilih menjadi wakil sukan Sarawak pada Sukan Empayar (Empire Games) di Cardiff. Walaupun penyertaan beliau pada tahun 1958 dalam temasya sukan itu gagal mencapai sebarang kejayaan tetapi menurut jurulatih beliau iaitu Lau Hon Choon bahawa penyertaan anak buahnya ini memperlengkapkan beliau dalam menghadapi temasya sukan yang lain.
Dari segi pencapaian Joseph Lee, beliau pernah memenangi pingat dalam Sukan Borneo dalam acara lompat jauh. Beliau mengulangi kejayaan beliau ini pada tahun 1962. Dalam temasya sukan itu beliau juga memecah rekod. Manakala rakan seangkatan beliau iaitu Chen Li Na pernah memenangi acara lompat jauh wanita dalam sukan di Tanah Melayu pada tahun 1957. Rakan senegeri beliau pula iaitu Leong Chin Hin merupakan atlit lompat tinggi Sarawak. Beliau pernah memenangi acara tersebut dalam Sukan Borneo.
Perkembangan sukan olahraga di Sarawak sebelum merdeka bermula dengan aktiviti kesukanan di sekolah. Ia mula berkembang pesat selepas perang sehingga muncul nama-nama besar atlit sukan Sarawak yang disegani di peringkat antarabangsa.
* Dr. Suffian Mansor adalah Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.