NGILING BIDAI… Dato Sri Dr. Sim Kui Hian mengetuai upacara Ngiling Bidai Gawai Dayak 2022 anjuran SUPP Bawang Assan. Turut kelihatan ialah Datuk Francis Harden Hollis serta yang lain.
SIBU: Kerajaan Sarawak akan terus berusaha menuntut autonomi kesihatan dan pendidikan daripada Kerajaan Persekutuan seperti yang telah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, terdapat beberapa perkara yang sentiasa dirundingkan oleh jawatankuasa berbeza terlibat dalam ceramah MA63 yang diketuai oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
“Salah satu daripadanya adalah autonomi kesihatan dan pendidikan, seperti jalan raya, apabila Kerajaan Persekutuan tidak membinanya, sekurang-kurangnya Kerajaan Sarawak boleh membinanya.
“Untuk pendidikan, kita terpaksa beri wang kepada Kerajaan Persekutuan untuk membaiki sekolah usang. Begitu juga kesihatan, kita tidak boleh laksanakannya sendiri kerana dua perkara ini di bawah Kerajaan Persekutuan,” jelasnya kepada pemberita pada Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2022 anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bawang Assan, semalam.
Menyentuh tentang cadangan pembinaan Pusat Kanser Sarawak, Dr Sim berkata, Sarawak masih perlu mendapatkan kelulusan daripada kerajaan persekutuan walaupun kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberi pinjaman bagi projek itu.
“Kita tidak mahu rakyat di Sarawak terus menderita kerana kerajaan pusat kata mereka tiada wang. Jadi kesihatan dan pendidikan adalah antara senarai perkara yang kita mahu ambil semula dan jawatankuasa telah berunding mengenai perkara ini.
“Kerajaan persekutuan perlu memulangkan semula kira-kira RM6 bilion setahun untuk kesihatan dan pendidikan. Selain mengembalikan autonomi, mereka masih perlu memberi wang kepada kita (Sarawak) kerana cukai pendapatan dikutip kerajaan persekutuan dan 95 peratus royalti minyak,” jelasnya.
Katanya, Sarawak bertegas untuk mengembalikan autonominya ke atas pendidikan dan kesihatan kerana Sarawak boleh menguruskan perkara itu.
“Kami tahu apa yang perlu dilakukan, tidak seperti dahulu kami tidak mempunyai doktor dan pendidik yang mencukupi.
“Ingat Ketua Menteri kita Allahyarham Pehin Sri Datuk Patinggi Adenan Satem berkata 90 peratus guru yang mengajar di Sarawak mestilah orang Sarawak.
“Tujuan ini adalah antara langkah untuk mendapatkan semula autonomi kita. Kedua-dua ini sangat penting kerana apabila kita dapat mendapatkan kembali hak pendidikan kita, barulah kita boleh mempunyai silibus sendiri.
“Kami tidak mahu Kerajaan Persekutuan mengatakan kami kekurangan tenaga kerja, kepakaran dan pengalaman untuk mengembalikan hak pendidikan kami. Sebab itu kami semakin maju dan perlahan-lahan kami akan memiliki 100 peratus bakat kami sendiri,” tegasnya.
Justeru itu, Dr Sim menggesa semua rakyat Sarawak bersatu-padu dan memberikan sokongan bagi memastikan kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kemenangan besar ini untuk memastikan GPS kuat dalam perjuangan menuntut autonomi kesihatan dan pendidikan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Pada majlis tersebut, Dr Sim yang juga Presiden SUPP turut menyaksikan upacara angkat sumpah SUPP Pelawan dan Bawang Assan.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat II Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang, Pengerusi SUPP Bawang Assan, Senator Robert Lau, Pengerusi SUPP Pelawan, Clarence Ting, Temnggong Datuk Vincent Lau, Temenggong Stanley Geramong Bandang serta yang lain.
Oleh AKUN GIMAN