NAMA Maimunah Daud merupakan salah satu nama besar dalam dunia kewartawan di Sarawak.
Beliau merupakan pemberita dan juga editor di Jabatan Perkhidmatan Penerangan sejak 1960. Beliau bertanggungawab dalam pengeluaran siaran media kepada surat khabar dan Radio Malaysia Sarawak (RMS) yang pada peringkat awal sekitar 1960-an hingga 1990-an banyak bergantung kepada bahan-bahan berita dan rencana daripada jabatan perkenaan.
Sebagai editor Maimunah Daud juga bertanggungjawab menerbitkan buletin mingguan Jabatan Penerangan yang dinamakan “Sarawak Dalam Seminggu” dan akhbar bulanan “Pedoman Rakyat”.
Pada 1965, beliau dipindahkan ke Jabatan Penyiaran sebagai editor seksyen berita RMS. Selepas 12 tahun dengan RMS beliau dinaikkan pangkat untuk menjadi Penolong Pengarah (Penerbitan) di Jabatan Penerangan pada 1977 sehinggalah persaraannya pada 1991.
Beliau dilahirkan di Kampung Patingan, membesar seterusnya di Kampung Sungei Lajim, Jalan Datuk Ajibah Abol.
Pengalaman luar negara
Lepasan sekolah St Mary dan St Thomas di Kuching ini dihantar ke Australia di bawah Pelan Kolombo pada 1963 untuk menjalani pengajian kewartawanan.
Semasa di Australia beliau berkesempatan ditugaskan dengan sebuah majalah wanita tersohor di sana “The Australian Women’s Weekly”.
Pada 1985 Maimunah sekali lagi mendapat tajaan ke luar negara, kali ini ke Amerika Syarikat oleh Asia Foundation untuk menjalani kursus penulisan ucapan.
YBMS
Pada 1985 itu jugalah Maimunah mulai menyumbang artikel berkaitan topik sekitar mengenai dialek Melayu Sarawak, tradisi dan adat resam Melayu dan seumpamanya ke “Sarawak Gazette” yang merupakan penerbitan kerajaan Sarawak sejak 1870, bermula dari zaman Brooke, sehinggalah ke era kolonial British dan selepas merdeka.
Tulisan-tulisan berkenaan menambat perhatian Yayasan Budaya Melayu Sarawak (YBMS) yang berhasrat untuk membukukan bahan-bahan sedemikian mengenai gaya hidup rakyat Melayu Sarawak.
YBMS ketika itu dipengerusikan oleh Dato Adenan Haji Satem yang ketika itu juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sarawak.
Begitulah lahirnya buku “Glimpses of Malay Life in Sarawak” terbitan YBMS dan dicetak oleh Sarawak Press Sdn Bhd.
Ketika penerbitan buku itu Sanib Said merupakan ketua editor penerbitan YBMS.
Imbasan menyeluruh
Buku setebal 207 halaman itu menyerlahkan imbasan-imbasan singkat mengenai gaya hidup orang Melayu Sarawak, berkaitan bahasa, kiasan, ekspresi idiomatik, metafora dan seumpamanya.
Juga berkaitan budaya yang menyentuh soal-soal adat pertunangan dan perkahwinan, dan sedikit tentang cara-cara ‘bergerek’, risik-merisik dan seumpamanya.
Pelbagai macam majlis doa selamat juga disentuh, dan juga dijelaskan mengenai majlis kunjung mengunjung ke rumah-rumah anggota keluarga serta sanak saudara yang mempamerkan ciri-ciri keistimewaan milik kaum Melayu Sarawak.
Walaupun imbasan-imbasan yang ditulis agak singkat-singkat (dan mudah untuk difahami) namun imbasan-imbasan itu cukup menyeluruh dan mencuit naluri pembaca untuk terus mengetahui perkara-perkara yang sepatutnya difahami.
Menurut penulisnya, bahan-bahan yang dihidangkan itu adalah hasil penglibatan beliau serta interaksi dengan kebanyakan orang tua yang beliau temui yang mencuit minat dan naluri ingin tahu beliau tentang banyak perkara yang kebanyakan orang kurang memandang berat.
“Buku ini dibuat sebegitu rupa untuk santaian bacaan. Saya harap pembaca mendapat manfaat darinya,” kata penulis dalam prakata buku itu.