SIMBOLIK DOKUMEN… Tan Sri Dato’ Abang Iskandar Abang Hashim serta Jason Juga memaparkan ‘ Garis Panduan Penghukuman Bagi Jenayah Hidupan Liar di Sarawak.’ •Foto NUR AIN OTSMAN
KUCHING: Mahkamah di negeri ini kini mempunyai garis panduan hukuman komprehensif bagi jenayah hidupan liar dengan pelancaran ‘Garis Panduan Penghukuman Bagi Jenayah Hidupan Liar di Sarawak.’
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Ketua Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Dato’ Abang Iskandar Abang Hashim di Kompleks Mahkamah Kuching, semalam.
Dokumen itu menandakan kemajuan ketara dalam usaha mahkamah untuk menangani cabaran dalam menjatuhkan hukuman yang adil dan konsisten terhadap pesalah jenayah hidupan liar.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia Sophia Lim, adalah satu penghormatan bagi WWF-Malaysia untuk bekerjasama dengan mahkamah, dalam dokumen penting yang dipanggil ‘Garis Panduan Penghukuman Bagi Jenayah Hidupan Liar di Sarawak’.
“Secara global, perdagangan haram hidupan liar menduduki tempat keempat selepas dadah, senjata, dan pemerdagangan manusia. Perjalanan kami bersama Mahkamah, khususnya Kumpulan Kerja Alam Sekitar Sarawak, bermula sejak 2015. Kami memulakan perjalanan ini kerana misi yang sama. Kami menjaga alam sekitar. Kami mengambil berat terhadap hidupan liar dikurniakan oleh Sarawak,” katanya dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Pengarah Konservasi WWF-Malaysia, Dr Henry Chan.
Tambahnya, ini juga akan menyokong badan kehakiman untuk mengukuhkan pelaksanaan mahkamah alam sekitar di Malaysia.
“Dengan penerimaan garis panduan oleh Mahkamah, WWF-Malaysia akan terus meneruskan lebih banyak aktiviti perkongsian pengetahuan dan pembinaan kapasiti.
“Akhirnya, kami berharap peningkatan kesedaran tentang jenayah hidupan liar dan isu alam sekitar lain di negeri ini akan memberi laluan kepada pendakwaan yang lebih berkesan,” ujarnya.
Katanya jelas sekali, untuk hukuman yang memberi kesan pencegahan terhadap jenayah hidupan liar, adalah perlu membawa lebih banyak jenayah sebegitu ke mahkamah dan untuk pelakunya didakwa dengan hukuman dikenakan secara konsisten.
Mahkamah Alam Sekitar telah ditubuhkan pada 3 Sept 2012 untuk memastikan keseragaman dalam membuat keputusan kes alam sekitar, selain menambah baik pentadbiran keadilan dalam kes sedemikian.
Pada masa ini, hukuman yang dijatuhkan bagi kes jenayah hidupan liar oleh mahkamah adalah tidak konsisten dan oleh itu, tidak mencukupi untuk menghalang jenayah ini daripada berulang.
Akibat daripada ini adalah potensi kehilangan hidupan liar yang tidak dapat dipulihkan di seluruh Sarawak. Oleh itu, ‘Garis Panduan Penghukuman Bagi Jenayah Hidupan Liar di Sarawak’ adalah inisiatif Mahkamah Tinggi Sarawak melalui Kumpulan Kerja Alam Sekitar Sarawak (SWGE) yang bermula pada 2020 dengan sokongan teknikal daripada WWF-Malaysia.
Satu siri perundingan untuk menyemak garis panduan itu telah dianjurkan pada tahun 2022 melibatkan badan kehakiman, agensi penguatkuasaan undang-undang hidupan liar dan NGO alam sekitar.
Garis panduan ini akan membantu hakim menjatuhkan hukuman yang adil dan konsisten yang sepadan dengan sifat jenayah hidupan liar.
Langkah ini juga akan membantu memajukan pelaksanaan mahkamah alam sekitar di negeri ini. Walaupun garis panduan ini boleh mengikat mahkamah, mahkamah dibenarkan untuk meninggalkan garis panduan apabila sesuai dan menggunakan budi bicara kehakimannya terhadap hukuman.
Turut hadir, Penyelaras SWGE, Jason Juga.
Oleh NUR AIN OTSMAN