PUTRAJAYA: Permohonan bidaan bagi kuota baharu tarif galakan (FiT) berjumlah 187 megawatt (MW) melibatkan sumber bukan solar seperti biogas, hidrokuasa kecil dan biojisim akan dibuka mulai Ogos ini.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kuota tersebut merangkumi 30MW masing-masing bagi sumber biogas dan biojisim manakala 127MW bagi sumber hidrokuasa kecil.
“Kerajaan menjangkakan tawaran kuota FiT baharu ini berupaya menjana pelaburan sebanyak RM1.8 bilion dan mewujudkan 550 peluang pekerjaan dalam industri tenaga boleh baharu (TBB),” katanya pada sidang media mengenai FiT sumber bukan solar di sini, baru-baru ini.
Permohonan itu boleh dibuat secara dalam talian di laman sesawang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, https://www.seda.gov.my/ bermula 2 Ogos 2022 bagi sumber hidrokuasa kecil dan seterusnya pada 9 Ogos untuk biogas dan biojisim.
Menurut Takiyuddin, permohonan kuota FiT secara e-bida dalam talian telah dilaksanakan mulai 2018 bagi memastikan kuota FiT diluluskan kepada pembida yang layak serta kompetitif.
TBB merupakan tenaga yang dihasilkan daripada pelbagai sumber boleh dijana semula seperti tenaga solar, angin, ombak, tenaga hidro, biogas dan biojisim.
Selain selamat, ia juga tidak akan kehabisan dan secara amnya hanya menyebabkan sedikit atau tiada pencemaran langsung berbanding bahan bakar fosil.
Menyentuh tarif elektrik bagi pengguna domestik yang akan berakhir pada 30 Jun ini, Takiyuddin berkata, kerajaan masih belum membuat keputusan mengenai tarif elektrik baharu dan sebarang pengumuman mengenainya akan dibuat selepas ini.
Pada masa ini, tarif elektrik kekal pada 39.45 sen sekiloWatt jam (kWj) dan pengguna domestik turut menikmati rebat sebanyak dua sen setiap kWj tanpa sebarang surcaj.
– Bernama