MEMUDAHKAN PENYERTAAN… MATRADE akan memudahkan penyertaan 15 syarikat Malaysia di Megabuild Indonesia 2022 untuk mempromosi produk dan perkhidmatan Malaysia, meneroka peluang perniagaan dan bekerjasama dengan rakan strategik Indonesia yang berpotensi dalam projek-projek berkaitan pembinaan. Antara produk dan perkhidmatan akan ditonjolkan di Megabuild 2022 termasuk seni bina, kejuruteraan, pengurusan projek dan perkhidmatan pembinaan, pencahayaan penerbangan, penyalutan kaca dan tangki air. Selain itu, produk hijau dan lestari seperti penyelesaian pengecas kenderaan elektrik (EV) dan tenaga solar akan turut dipamerkan di Pavilion Malaysia.
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan memudahkan penyertaan 15 syarikat Malaysia di Megabuild Indonesia 2022 sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menonjolkan kemampuan Malaysia dalam industri pembinaan dan bahan bangunan.
Pameran itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) mulai 16 hingga 19 Jun.
MATRADE dalam kenyataan semalam berkata, inisiatif itu adalah tepat pada masanya berikutan permintaan yang meningkat terhadap perkhidmatan pembinaan dan bahan bangunan di negara itu, didorong oleh projek kediaman dan pelaburan dalam infrastruktur di bandar-bandar merentasi republik itu.
Pengarah Bahagian Pembinaan dan Perkhidmatan Perniagaan MATRADE, Idzham Abdul Hamid berkata, objektif utama penyertaan adalah untuk mempromosi produk dan perkhidmatan Malaysia, meneroka peluang perniagaan dan bekerjasama dengan rakan strategik Indonesia yang berpotensi dalam projek-projek berkaitan pembinaan.
“Antara produk dan perkhidmatan akan ditonjolkan di Megabuild 2022 termasuk seni bina, kejuruteraan, pengurusan projek dan perkhidmatan pembinaan, pencahayaan penerbangan, penyalutan kaca dan tangki air.
“Selain itu, produk hijau dan lestari seperti penyelesaian pengecas kenderaan elektrik (EV) dan tenaga solar akan turut dipamerkan di Pavilion Malaysia,” katanya.
MATRADE berkata, sebagai satu daripada negara mencatatkan pertumbuhan pantas, Indonesia menawarkan peluang penting kepada perniagaan dalam pelbagai sektor.
Katanya pada awal tahun ini, Parlimen Indonesia meluluskan Rang Undang-Undang Ibu kota Negara untuk menjadi undang-undang agar pembinaan ibu negara baharu di negara itu boleh dimulakan, menjelang pemindahan yang dicadangkan seawal 2024 dari Jakarta ke wilayah Kalimantan Timur.
Ibu negara baharu iaitu Nusantara, mempunyai keluasan 256,105.31 hektar, hampir empat kali ganda daripada saiz Jakarta. Oleh itu, projek ini akan menarik pelabur daripada pelbagai industri di seluruh dunia.
Justeru, MATRADE berkata, ia memerlukan pelbagai infrastruktur antaranya utiliti bandar, jalan bertol, pembuatan, pelabuhan laut dan lapangan terbang serta dan rangkaian dan komunikasi.
“Sehubungan itu, Kalimantan Timur diramal menyaksikan pertumbuhan 47.7 peratus dalam pelaburan sebenar. Pihak dari Malaysia yang berminat perlu meningkatkan kehadiran mereka ke negara itu dan syarikat Malaysia yang lain digalakkan meneroka peluang perniagaan di Nusantara melalui rangkaian MATRADE.
“Beberapa projek berpotensi yang sedia ada termasuk Projek Rebana di Jawa Barat boleh berperanan sebagai pemangkin kepada syarikat Malaysia untuk mempunyai pembabitan yang lebih besar di Indonesia, terutamanya di ibu negara baharu di Kalimantan Timur,” kata agensi itu.
Selain Megabuild Indonesia 2022, MATRADE akan turut menyelaraskan penyertaan syarikat-syarikat Malaysia di pameran perdagangan antarabangsa termasuk Acetech Mumbai yang akan diadakan pada 10 hingga 13 November dan The Big 5 Dubai bermula 5 hingga 8 Disember untuk terus membantu pengeksport Malaysia meraih pasaran baharu.
Pengeksport Malaysia yang berminat untuk menembusi pasaran Indonesia boleh menghubungi MATRADE Jakarta di jakarta@matrade.gov.my untuk menerima kemas kini pasaran, hubungan perniagaan dan maklumat mengenai peluang perniagaan.
Sementara itu, mereka yang ingin mendapatkan bantuan MATRADE mengenai industri pembinaan dan bahan bangunan, diminta menghubungi Mohd Saiful Arifin (mohdsaiful@matrade.gov.my) atau Nur Nadia Naim (nadia@matrade.gov.my).- Bernama