SANGIN merakam kenangan bersama keluarga setelah berjaya menamatkan pengajian.
Mula mengatur langkah ke alam yang lebih mencabar, Sangin berjaya mendapat tawaran belajar ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2003 dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling.
“Semestinya kesempitan kewangan menjadi satu persoalan besar ketika saya mendapat tawaran tersebut namun takdir bagaikan menyebelahi saya apabila pak cik saudara saya bernama Ujang menang loteri ketika itu dan saya terbang ke UPSI dengan berbekalkan wang tersebut walaupun pernah trauma berada di Semenanjung.
“Namun pada tahun kedua saya juga ditimpa masalah yang menekan saya untuk berhenti kerana masalah kewangan. Masa itu saya hanya memiliki RM160 untuk membeli tiket kapal terbang tapi terpaksa digunakan untuk tujuan keluarga.
“Namun pada kali kedua nasib seolah-olah menyebelahi saya sekali lagi apabila masalah tersebut selesai dan duit tersebut dikembalikan kepada saya hingga saya mampu membeli tiket penerbangan ke UPSI,” tambahnya yang turut memberitahu beliau berjaya menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Bimbingan dan Kaunseling.
Lebih membanggakan, anak lelaki yang dahulunya pernah dipandang hina akibat serba serbi kekurangan, beliau sekali lagi melakar rasa bangga dalam keluarga apabila dinobatkan sebagai penerima Hadiah Buku Naib Canselor UPSI.
“Saya diminta hadir ke sidang khas di mana ketika itu saya duduk kerusi pertama dan menerima hadiah daripada Permaisuri Perak namun sesuatu yang di luar jangkaan sebab pihak UPSI hanya memaklumkan pada saat akhir. Ketika itu, berita kejayaan saya dan rakan-rakan turut diapaprkan di dada akhbar,” katanya.
Ditawarkan untuk mengikuti Program Fellowship di UPSI selama lima tahun, Sangin sekali lagi dengan berat hati menolak permohonan tersebut kerana lebih memilih untuk akur terhadap permintaan neneknya yang enggan berjauhan dengannya.
‘Selepas hujan akan hadirnya pelangi’ dan begitulah yang terjadi apabila Sangin kemudiannya mendapat penempatan di Sekolah Menengah Teknik Betong (sekarang dikenali sebagai Kolej Vokasional Betong).
Pada 2008, beliau memohon untuk mengikuti pengajian dalam bidang Psikologi Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia secara separuh masa dan menamatkan pengajian sekitar tahun 2020.
Nekad untuk terus mengekalkan momentum, beliau memohon Hadiah Latihan Persekutuan Cuti Belajar Bergaji Penuh Dengan Biasiswa dan berjaya menerima tajaan pada 2021 dan kini Sangin sedang mengikuti pengajian di Peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Kaunseling di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
BUKU DAN PESANAN
Ditanya apakah pesanan yang akan disampaikan kepada dirinya pada 20 tahun yang lalu, penulis buku motivasi ‘Garam Pengidup’ tersebut tenang menjawab untuk sentiasa berusaha dan tidak sesekali berputus asa dan membuktikan anak yang tidak mendapat curahan kasih sayang daripada ibu bapa juga mampu melakar sejarah yang membanggakan.
Menjelas lanjut mengenai buku tersebut, beliau berkata buku tersebut mulai ditulis pada 2019 dan berjaya diterbitkan pada 2022 setelah mendapat inspirasi menerusi tulisan yang ditulisnya dalam Facebook mencecah 9.8 ribu perkongsian.
“Saya menulis tentang banyak perkara hasil pemerhatian, pembacaan dan pengalaman diri sendiri yang terdiri daripada kisah kehidupan, panduan hidup berumah tangga, motivasi anak-anak yang sedang belajar dan banyak lagi dan dianggarkan ada sekitar 126 topik.
“Saya bersyukur kerana sehingga hari ini buku tersebut telah terjual sebanyak 300 buah untuk cetakan pertama dan 150 buah cetakan kedua.
“Angka ini melebihi dari jangkaan saya memandangkan sasaran pertama saya cuma 100 buah,” tambahnya lagi.
Maka dengan penulisan artikel ini, penulis berharap ia mampu menyuntik sedikit semangat kepada semua yang masih berusaha terutamanya yang masih belajar.