PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasat dan mengemukakan pandangan kepada Jabatan Peguam Negara untuk melakukan pertuduhan berhubung kes integriti dan salah guna kuasa membabitkan MARA Corporation (MARA Corp).
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM telah menghantar kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara berhubung kes itu untuk dikaji dan telah mencadangkan nama beberapa pihak untuk dituduh.
Mengulas laporan portal media yang mendakwa Jabatan Peguam Negara yang sepatutnya mendakwa tiga pegawai Mara Corp ‘bakal’ menggugurkan kes terhadap mereka, Azam berkata, setakat ini tiada sebarang pemakluman daripada Jabatan Peguam Negara yang mengatakan kes tersebut tidak akan dituduh.
“Pendirian kami, kita telah siasat dan pandangan kami ada keterangan memadai dan mencukupi untuk mencadangkan beberapa pertuduhan kepada beberapa pihak,” katanya, kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Media SPRM 2021 di Ibu Pejabat SPRM di sini semalam.
“Saya setakat ini tidak mahu komen yang mengatakan kes ini tidak dituduh,” tambahnya.
Isu salah guna kuasa dan salah urus MARA Corp didedahkan media sosial yang turut melampirkan enam halaman surat berhubung isu integriti pegawai agensi berkenaan.
Lima pegawai agensi itu yang dikaitkan dengan dakwaan terbabit telah membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur bagi menafikan terbabit dengan perbuatan seperti didakwa.
Pada 5 Februari lepas, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan MARA yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu.
SPRM pada 7 Februari lepas turut menyerbu dan merampas beberapa dokumen daripada MARA, MARA Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat. — Bernama