TIDAK ada siapa menyangka majlis makan malam pelantikan dan pemasyhurannya bekas Yang Dipertua Dewan Negara sebagai Penaung Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) adalah merupakan malam terakhir beliau sebelum menghembus nafas terakhir.
Berita beliau meninggal dunia di Pusat Rawatan Pakar Normah sekitar 12.30 tengah malam Sabtu lalu cepat tular. Lebih-lebih lagi ramai mengenali bekas ahli politik dan tokoh korporat tersebut. Tan Sri Datuk Amar Abang Ahmad Urai Abang Mohideen dikenali sebagai ‘Nek Udak’ dikenali ramai masyarakat Melayu di Sarawak.
Beliau berasal dari keluarga aristokrat Melayu. Ayahnya bernama Abang Mohideen ialah adik beradik kepada Abang Sapiee. Bermakna cucu Abang Sapiee ialah Premier Sarawak Datuk Abang Johari Tun Abang Haji Openg bin Abang Sapiee. Sudah tentu arwah Abang Ahmad Urai ialah bapa saudaranya kerana allahyarham sepupu kepada ayah Abang Johari. Ramai lagi ahli keluarga besar Abang Ahmad Urai termasuk ibu kepada Datuk Naroden Majais mantan wakil rakyat Gedong yang turut mempunyai pertalian persaudaraan dengan allahyarham,
Zaman Muda
Dilahirkan 89 tahun yang lalu, iaitu pada 23 Jun 1933 dan beliau berpeluang mengikuti Pendidikan di sekolah St Joseph, Kuching dan memperoleh Overseas Junior Cambridge School Certificate 20 tahun kemudian pada tahun 1953. Ketika itu, Sarawak masih di bawah pentadbiran kolonial dan beliau berkhidmat sebagai penjawat awam di di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Bangunan Sekretariat di Kuching.
Pada usia muda ketika itu memulakan hubungan yang luas dengan berkenalan dengan nama-nama besar negara yang berurusan dengan penubuhan Malaysia. Ketika itulah beliau menjadi pegawai perhubungan kepada Ghazali Shafei yang dilantik sebagai wakil Persekutuan tanah Melayu bagi penubuhan Malaysia datang ke Sarawak. Hubungan dengan pemimpin persekutuan tersebut kemudian berkembang menjadi jaringan yang besar pada kemudian hari. Malah pertemuan dengan Tengku Razaleigh Hamzah juga bermula pada tahun-tahun 1960-an dan hubungan baik tersebut masih berlangsung hingga tahun-tahun kebelakangan ini apabila majlis ulang tahun kelahiran allahyarham juga diraikan oleh Tengku Razaleigh Hamzah.
Jejak politik
Selepas beliau meletak jawatan dalam perkhidmatan awam tahun 1969 beliau terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan termasuk membekalkan makanan kepada kem-kem tentera. Di sinilah bakat niaga dan korporat beliau mulai terserlah pada usia muda. Namun minat dalam politik begitu kuat.
Hubungannya dengan Ghazali Shafei, Tengku Razaleigh Hamzah, malah dengan Tun Abdul Razak dan Tunku Abdul Rahman membuka ruang untuk allahyarham menceburi dunia politik apabila akhirnya pada usia 41 tahun beliau bertanding di DUN Saribas, pada tahun 1974 mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Allahyarham berjaya mengalahkan calon parti SNAP. Beliau kemudian dilantik sebagai Menteri Muda di Kementerian Kebudayaan Belia dan SUkan pada tahun 1976.
Banyak cerita menarik yang selalu dikongsikan oleh beliau sebelum ini dan restoran Alexis di Great Ampang Mall ialah tempat kesukaan beliau berjumpa dengan teman-teman. Selain itu, tempat itu jadi pilihan kerana berhampiran dengan kediamannya. Lazimnya beliau berjalan kaki berulang alik ke restoran tersebut. Pada usia emas beliau banyak bercerita mengenai pengalaman hidup beliau dikongsikan antaranya mengenai isu sejarah, budaya, politik dan kemasyarakatan.
Penghubung persaudaraan serumpun
Ketika hangat isu tuntutan Brunei terhadap Limbang, beliau dihantar ke Brunei untuk meredakan keadaan oleh kerajaan Negeri Sarawak dan ketika itu menurut allayarham pihak Kuala Lumpur bimbang beliau akan ditangkap lebih-lebih lagi terdapat laporan perisikan menyatakan beliau dibawa oleh kenderaan rasmi kerajaan Brunei dan diiringi pasukan keselamatan. Sebenarnya, apa yang berlaku ialah beliau disambut oleh pihak kerajaan Brunei kerana beliau dikenali dan banyak hubungan kekeluargaan di Brunei dan menjadi orang besar di Brunei. Beliau disambut dengan baik dan berpeluang dengan keluarga Diraja Brunei bagi menyampaikan mesej perpaduan dan meredakan keadaan. Salah satu cara beliau meredakan keadaan konflik kepada harmoni dan perpaduan ialah mengadakan lawatan rasmi selepas itu dan mengadakan persembahan hiburan di Brunei untuk memahami antara satu sama lain.
Perjalanan politik beliau juga berkembang apabila berpindah ke kerusi DUN Semera pada tahun 1978. Di DUN Semera umpama sirih pulang ke gagang kerana di situlah ramai ahli keluarga besar tinggal di kawasan tersebut. Kawasan DUN Semera ketika itu termasuk kawasan Gedong dan Simunjan. Pada akhir riwayatnya ingatan terhadap keluarga besarnya masih menyala-nyala apabila beliau merancang untuk mengadakan pertemuan himpunan keluarga besarnya di Gedong pada bulan Oktober ini. Apakan daya, manusia hanya mampu merancang Tuhan penentu segalanya.
Menjadi Senator
Beliau dilantik menjadi senator sejak penghujung tahun 1984 dan menjadi Timbalan Yang Dipertua dan seterusnya beliau dilantik menjadi Yang Dipertua Dewan Negara 12 Julai 1988 hingga 9 Julai 1990. Ketika itu Abdul Ghani Othman pemimpin politik muda Johor berasa kagum dengan Nek Udak yang mampu menangani sesi Dewan Negara dengan begitu baik sekali. Nek Udak pula melihat Ghani Othman sebagai bintang politik Johor yang mampu melangkah jauh. Memang benar, Ghani Othman selepas bertanding dalam pilihan raya menang kemudian pernah dilantik menjadi Timbalan Menteri Kewangan di persekutuan dan Menteri Besar Johor.
Selepas tamat tempoh sebagai Yang Dipertua Dewan Negara adalah pelawaan yang paling mengujakan ramai orang, namun Nek Udak menolaknya dengan baik. Ketika itu, beliau ditawarkan oleh Dr Mahathir untuk dilantik sebagai Tuan Yang Terutama Negeri Pulau Pinang politik. Anwar Ibrahim ketika itu juga sudah menghebohkan berita tersebut kepada beberapa ahli politik di Sarawak dan menyebabkan berita tersebut gampar kalangan orang politik dan tempatan. Malah Ketua Polis Pulau Pinang menghubungi dan memaklumkan akan berita tersebut dan bersiapsedia untuk menunggu arahan rasmi seterusnya.
Namun jauh di sudut hati Nek Udak beliau nekad untuk berehat kerana beliau berasa perlu fokus dengan keluarga dan terlibat dalam dunia niaga. Tambahan pula, beliau berasa sebagai anak Sarawak tentulah agak janggal untuk menjadi TYT Pulau Pinang, walaupun ini bukan luar biasa. Hal ini kerana ada sahaja TYTdilantik yang bukan dari negeri asal. Misalnya, TYT Tun Khalil Yaakub asal Pahang akan tetapi pernah dilantik sebagai TYT Melaka. Sekiranya beliau menerima tawaran tersebut, sudah tentu beliau mencipta sejarah anak Sarawak pertama dilantik sebagai TYT Pulau Pinang.
Dalam dunia korporat dalam Yayasan Sime Darby, Grand Central Enterprise Berhad, PanGlobal Berhad dan sebagainya. Namun peranan yang tak mungkin dilupai oleh rakyat Sarawak apabila beliau dilantik sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU), iaitu syarikat rakan pelaksana projek (PDP) yang menjayakan projek Pan Borneo Sarawak yang sepanjang 786 kilometer dan memberikan peluang kepada 10,000 peluang pekerjaan kepada rakyat. Di sinilah nama beliau terus harum dan banyak membuat amal dan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan.