JAY Keram PANDI Suhaili
KUCHING: Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk lima Timbalan Menteri, akan bersaing untuk merebut 16 kerusi Majlis Tertinggi (MT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Mereka adalah antara 22 calon yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu dalam pemilihan pada Perhimpunan Agung Tiga Tahun Sekali parti itu Sabtu ini.
Bagaimanapun, hanya seorang Ahli Parlimen turut bertanding iaitu Yusuf Abdul Wahab, Ahli Parlimen Tanjong Manis.
Sumber dalaman PBB memberitahu Utusan Sarawak, turut bersaing ialah beberapa tokoh korporat, ahli veteran dan beberapa ahli MT mempertahankan jawatan itu dalam parti.
Sementara itu, Timbalan Menteri yang bertanding ialah Dr Hazland Abang Hipni iaitu Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni yang juga ADUN Demak Laut; Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) yang juga ADUN Semop.
Mohamad Razi Sitam, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Komuniti yang juga ADUN Saribas; Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan yang juga ADUN Sadong Jaya dan Datuk Dr Juanda Jaya, Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsman, yang juga ADUN Jemoreng.
Lima ADUN yang turut menawarkan diri bagi merebut jawatan MT termasuk Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang juga ADUN Tupong.
Yang lain termasuk Safiee Ahmad (ADUN Daro); Awla Dris (ADUN Simunjan); Razali Gapor (ADUN Beting Maro) dan Mohamad Duri (ADUN Kalaka).
Turut bersaing ialah Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Pengiran Jawa; Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Haidar Khan Asghar Khan dan Timbalan Walikota merangkap Setiausaha PBB Cawangan Tellian, Jay Keram; ahli veteran Pandi Suhaili; Mohamad Sardon Zainal dan Zainulabidin Ismail .
Tokoh korporat yang turut bersaing ialah Datuk Awang Daud Awang; Paul Druce dan Syed Hamzah Datuk Wan Hamid Edruce selain Mahmud Datuk Sri Ibrahim.
Bagaimanapun, tiada pertandingan untuk 14 jawatan MT yang diperuntukkan untuk sayap Pesaka.
Ini berikutan 10 calon lain membuat keputusan untuk menarik balik pencalonan pada hari terakhir mengemukakan borang, Jumaat lalu. Keputusan sama turut berlaku dalam saingan di peringkat Pergerakan Wanita dan Pemuda apabila tiada pertandingan akan berlaku, setelah proses konsensus.
Oleh KADIR DIKOH