DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika melancarkan projek Pusat Kebudayaan Bidayuh selepas Majlis Rumah Terbuka Gawai Bau 2022 di Dewan Suarah Bau semalam. Pelancaran projek itu turut disaksikan oleh Timbalan Premier Dato Sri Dr. Sim Kui Hian (lima dari kanan), Ahli Parlimen Bintulu Dato Seri Tiong King Sing (dua kanan), ADUN Balai Ringin Datuk Snowdan Lawan (empat dari kanan), Speaker DUN Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar (tiga kanan), ADUN Tasik Biru Dato Henry Harry Jinep serta tetamu kehormat yang lain.
BAU: Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) ditubuhkan khusus untuk memantau pelaksanaan projek pembangunan di kawasan Serian dan Bau.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika mengumumkannya semalam berkata agensi itu memberi tumpuan menjangkau kawasan Kuching iaitu Greater Kuching yang lokasinya di kawasan masyarakat Bidayuh.
“Saya mengiktiraf sokongan masyarakat Bidayuh dan wakil rakyat anda telah bercakap dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) minta supaya membangunkan agensi khas ini di kawasan-kawasan Bidayuh.
“Jadi hari ini saya mengumumkan bahawa kita akan menubuhkan GKCDA yang akan menyelaras pembangunan di kawasan greater Kuching.
“Kita (kerajaan) ada fokus, dan saya akan mengkaji macam mana perjalanannya. Saya akan berbincang dengan ketua-ketua kaum Bidayuh untuk kita buat rangka kerja,” katanya ketika berucap pada Rumah Terbuka Gawai Bau 2022 di Dewan Suarah Bau, semalam.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata agensi baharu ini adalah selaras dengan strategi kerajaan Sarawak untuk mempercepatkan pembangunan di negeri ini.
“Kalau kita lihat kawasan kita dengan Semenanjung, boleh dikira sama besar, tetapi mereka ada negeri, jadi mereka dapat membangun kawasan-kawasan mereka.
“Kita (Sarawak) besar, kita tidak sama seperti mereka, kita tidak ada negeri-negeri dalam Sarawak dan kita hanya sebuah wilayah yang bernama Sarawak. Sebab itu, kita tubuhkan agensi ini untuk menyelaras dan fokus di kawasan tertentu, sebab itu saya tubuhkan agensi ini,” katanya.
Ketika ditemui pemberita kemudian, Abang Johari berkata model GKCDA ini serupa dengan Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) di mana ia bukan badan berkanun.
“Ideanya begini, apabila kita memberi mereka geran pembangunan barulah mereka boleh selaraskan pelaksanaan projek itu. Modelnya serupa dengan IRSDA, bukan badan berkanun formal ia hanyalah agensi yang menyelaraskan semua projek pembangunan yang telah kita luluskan di kawasan ini.
“Jika dilihat, terdapat banyak projek yang telah kita luluskan, persoalannya sekarang adalah pelaksanaannya, ini sebabnya saya fikir agensi ini akan memainkan peranan mereka,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO