MENGENAKAN tengkolok lengkap bersama persalinan hulubalang mahupun laksamana antara penampilan unik peserta Pertandingan Memanah Terbuka Sarawak Saribas Invitation 2022 bertempat di Padang Sukan Debak kelmarin.
Tidak kisah dalam keadaan cuaca terik, sebahagian besar peserta lelaki sehinggalah kepada wanita, masing-masing bangga memperagakan pakaian tradisi Melayu lama itu.
Malah gaya mereka tambah menonjol tatkala menggalas busur kayu di bahu berserta kantung kulit terisi anak panah menarik perhatian penonton pertandingan berkenaan.
Sesuai dengan pertandingan terbabit dengan membawa mesej memartabatkan warisan Melayu menerusi sukan tradisi itu, rata-rata peserta memperlihatkan betapa mereka ini amat menghargai peralatan riadah tradisi itu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Mohammad Razi Sitam (gambar) berkata pertandingan sebegini dapat membantu meramaikan kumpulan pemanah tradisional dalam kalangan generasi muda terutamanya.
Beliau menjelaskan Kelab Memanah Saribas perlu memperbanyak program, acara dan kejohanan sekali gus menarik lebih ramai masyarakat dan golongan muda menyertai sukan memanah.
“Saya nampak masyarakat semakin meminati sukan memanah dan ini satu petunjuk yang positif.
“Dan, saya menyandarkan harapan sepenuhnya kepada Kelab Memanah Saribas untuk menyusun atur perancangan bagaimana untuk membangunkan potensi sukan memanah di kawasan tengah Sarawak,” katanya.
Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berkata ketika ini usaha menjadikan sukan memanah seperti sukan popular yang lain harus dipergiatkan.
Beliau memuji komitmen Kelab Memanah Saribas yang telah berjaya menganjurkan Pertandingan Memanah Terbuka Sarawak Saribas Invitation 2022 dengan penyertaan 150 pemanah daripada 20 kelab dari seluruh Sarawak.
“Ini menunjukkan Saribas kini semakin dikenali dengan sukan memanah. Dan saya mengharapkan sukan ini terus berkembang dalam kalangan semua peringkat umur sebagai sukan rekreasi yang mampu menjadi fenomena,” ujarnya.