FORMULA 1
MAX Verstappen semalam mencadangkan Carlos Sainz akan menggantikan Sebastian Vettel di Ferrari setelah mengatakan dia tidak fikir Daniel Ricciardo akan berpindah ke pasukan Formula Satu Itali itu musim depan.
Ricciardo dan pemandu dari Sepanyol, Sainz menjadi pilihan untuk berpindah ke ‘Scuderia’ berikutan pengumuman Vettel semalam bahawa dia akan berpindah pada akhir kempen 2020.
Ricciardo kelahiran Australia yang boleh berbahasa Itali berada dalam kontrak terakhir dua tahun yang menguntungkan dengan Renault.
Ditanya oleh bekas pelumba F1, David Coulthard, apakah tempat duduk itu akan menggunakan nama berbunyi Itali atau nama Sepanyol, merujuk kepada Ricciardo dan pemandu McLaren, Sainz, Verstappen berkata: “Saya rasa itu bukan nama Itali.”
“Mari kita lihat. Akhirnya ia hanya tekaan. Kita harus menunggu dan melihat,” tambahnya semasa soal jawab Instagram.
Ricciardo, 30, telah memenangi tujuh Grand Prix sepanjang karier F1nya, sementara Sainz yang berusia 25 tahun masih belum memenangi satu perlumbaan.
Verstappen juga menolak dirinya untuk pindah ke Ferrari, dengan mengatakan bahawa dia “pasti” tidak akan meninggalkan Red Bull pada akhir musim yang permulaannya ditangguhkan hingga bulan Julai kerana adanya Covid-19.
“Saya berada di Red Bull. Saya melihat beberapa soalan datang jika saya akan pergi ke Ferrari, tetapi saya tidak,” katanya.
Vettel mengatakan dalam pengumumannya bahawa tidak ada lagi “keinginan bersama” untuk bekerjasama dengan Ferrari, yang belum mengumumkan pengganti juara dunia empat kali itu.
Telah banyak dilaporkan bahawa setelah dikalahkan oleh rakan sepasukan berusia 22 tahun Charles Leclerc pada tahun 2019, Ferrari telah menawarkan Vettel kontrak lanjutan satu tahun dengan gaji yang dikurangkan dengan ketara.
Tahun lalu Vettel berulang-ulang kali dibayangi oleh Leclerc, bakat luar biasa yang berusia 10 tahun lebih muda dan memasuki musim keduanya bersama Ferrari.
Pemandu dari Monaco itu meraih tujuh petak pertama dalam musim pertamanya di Maranello, menang dua kali termasuk kemenangan emosi di Monza. – AFP