KUCHING: Pengawasan di sempadan dan pintu masuk Sarawak termasuk lapangan terbang mesti dipertingkatkan untuk mengawal penularan cacar monyet di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, setakat ini Sarawak masih belum merekodkan sebarang kes cacar monyet.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan, kawalan di sempadan negara perlu dipergiatkan untuk memastikan orang yang masuk tidak dijangkiti cacar monyet.
“Kami telah melihat fenomena di seluruh dunia yang dipanggil ‘monkeypox’ iaitu jangkitan virus yang jarang berlaku serupa dengan cacar manusia.
“Ini satu lagi contoh virus merebak daripada haiwan kepada manusia. Sebenarnya ia sudah lama tetapi setakat 25 Mei, Sarawak tidak mencatatkan sebarang kes cacar monyet setakat ini. Jadi kita kena pastikan sempadan kita terkawal dan orang yang memasuki Sarawak tidak mempunyai sebarang gejala cacar monyet,” katanya dalam TikTok video yang dikongsi di laman sosialnya pada Isnin.
Dalam pada itu, Dr Sim berkata, Sarawak juga perlu memantau kemudahan penjagaan kesihatan untuk mengesan pesakit yang menunjukkan sebarang gejala cacar monyet.
“Mereka yang mengalami simptom hendaklah memaklumkan kepada kami (pihak berkuasa kesihatan) segera supaya kita dapat mengambil langkah ke peringkat seterusnya.”
Menurut Kementerian Kesihatan, ‘monkeypox’ adalah penyakit yang disebabkan virus orthopox dan boleh merebak daripada haiwan kepada manusia dan juga antara manusia.
Jelas KKM, sejak 13 Mei dan setakat 1 Jun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan lebih 550 kes cacar monyet telah dikenal pasti di sekurang-kurangnya 30 negara termasuk United Kingdom, Sepanyol, Portugal, Australia dan Amerika Syarikat.
“Gejala cacar monyet biasanya termasuk demam, sakit kepala yang teruk, tenaga rendah, nodus limfa bengkak dan ruam atau lesi kulit yang tertumpu pada muka dan tapak tangan dan tapak kaki, yang juga kadangkala boleh merebak ke bahagian badan yang lain.
“Ia menghasilkan simptom yang serupa dengan cacar, tetapi lebih ringan. Masa dari jangkitan hingga permulaan simptom, yang dirujuk sebagai tempoh inkubasi antara lima hingga 21 hari.”
Tambah KKM lagi, penyakit tersebut biasanya sembuh dalam masa dua hingga empat minggu.
“Penghantaran virus monkeypox di kalangan manusia adalah terhad, tetapi ia boleh berlaku melalui sentuhan kulit, titisan udara, cecair badan, dan objek yang tercemar virus.”
Oleh AZREEN KERIA