SIASAT… Kelihatan pihak keselamatan terus mengetatkan kawasan sekolah bagi mengawal insiden tembakan rambang yang mengorbankan seramai 19 pelajar setakat ini. • Foto AFP
ULVADE: Mangsa tembakan rambang seorang remaja di Sekolah Rendah Robb di sini meningkat kepada 19 orang pelajar.
Senator Texas, Roland Gutierrez, memberitahu CNN dua lagi mangsa dewasa turut terbunuh dalam serangan itu, selain penembak itu sendiri, Salvador Ramos, 18, yang mati ditembak selepas menyerang anggota polis.
“Jumlah sebenar mangsa yang cedera belum dapat dipastikan dan peningkatan kadar kematian ini adalah kerana beberapa pelajar yang cedera parah sebelum ini gagal diselamatkan selepas dimasukkan ke hospital,” katanya.
Serangan di Uvalde, Texas, sebuah pekan kecil kira-kira sejam dari sempadan Mexico, adalah tragedi terbaru dalam rentetan serangan bersenjata yang ganas di Amerika Syarikat (AS) setakat ini.
Gabenor Texas, Greg Abbott, pada satu sidang media, berkata penembak berusia 18 tahun itu dipercayai menembak mati neneknya sebelum menuju ke Sekolah Rendah Robb.
Dia dipercayai meninggalkan kenderaannya dan membawa sepucuk pistol serta selaras senapang ke dalam sekolah itu sebelum melepaskan tembakan secara rambang sekitar tengah hari.
“Suspek adalah penduduk tempatan dan warga negara AS, yang ditembak mati selepas cuba menembak anggota polis yang cuba menahannya. Semua ini mengerikan dan tidak masuk akal sama sekali,” katanya.
Beberapa rakaman menunjukkan guru memimpin kumpulan kecil kanak-kanak sekitar usia tujuh hingga 10 tahun menyelinap di sebalik kereta dan bas dalam keadaan cemas, dengan ada yang menangis, cuba menyelamatkan diri.
Rumah putih mengarahkan bendera dikibarkan separuh tiang sebagai tanda berkabung dan difahamkan Presiden AS, Joe Biden, sudah diberi taklimat mengenai tragedi itu.
Sekolah Rendah Robb mempunyai kira-kira 500 pelajar, kebanyakannya warga Hispanik daripada golongan miskin dan ibu bapa diminta jangan mengambil anak mereka sebelum kesemuanya disahkan selamat.
Sementara itu, Naib Presiden AS, Kamala Harris, berkata: “Cukuplah setakat ini, hati kita terus terluka dan kita perlu ada keberanian untuk bertindak sekarang”.
Walaupun AS menyaksikan antara kes tembakan rambang yang tertinggi di dunia, pelbagai usaha untuk mengusulkan kawalan penjualan dan penggunaan senjata api di Kongres menemui kegagalan.
AS merekodkan 19,350 kematian berkaitan senjata api pada 2020, meningkat hampir 35 peratus berbanding 2019, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dalam data terbarunya.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, meminta rakyat negara itu melobi dan mendesak ahli Kongres meluluskan undang-undang senjata api yang lebih ketat susulan tragedi 19 pelajar sekolah rendah mati ditembak.
Pelaku serangan itu, Salvador Ramos, 18, yang turut membunuh dua lagi mangsa dewasa, mati ditembak selepas menyerang anggota polis, di Sekolah Rendah Robb di Uvalde, Texas.
Biden berkata demikian pada sidang media menyusuli kes tembakan ngeri di sekolah berkenaan tetapi tidak menyatakan apa yang ingin lakukan atau meminta undian khusus dilakukan di Kongres atau menggubal dasar baharu.
“Ketika menjadi menjadi presiden, saya berharap tidak perlu melakukan ini lagi,” kata Biden mengecam perbuatan membunuh murid gred dua, tiga dan empat secara rambang.
Biden berkata, mangsa ibu bapa di Texas ‘tidak akan melihat anak mereka lagi mahupun berpeluang menemani mereka ke katil serta berpelukan.
“Saya meminta rakyat AS melawan perasaan tidak berdaya dan berharap kita jangan lagi melihat satu lagi kejadian tembakan besar-besaran.
“Sebagai sebuah negara, kita perlu bertanya bila isu ini akan selesai dan lakukan apa yang perlu dilakukan bagi mengatasinya. Saya sudah letih. Kita perlu bertindak dan jangan kata kejadian terbabit tidak memberi kesan kepada kita,” katanya.
Tembakan rambang membabitkan ramai mangsa semakin berleluasa di AS dan sering disusuli bantahan awam serta gesaan bertindak oleh ahli politik Demokrat.
Bagaimanapun, dasar keselamatan senjata api Persekutuan seperti pemeriksaan latar belakang yang biasa dilakukan di negara lain gagal mendapat kelulusan kerana bangkangan kuat parti Republikan.
AS menyaksikan 61 kes ‘penembak aktif’ tahun lalu, peningkatan mendadak berbanding 2022 dan jumlah tertinggi dalam lebih 20 tahun, lapor FBI minggu ini.-AFP