PERSEDIAAN PERSIDANGAN… Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom (kanan) bersama Dato Sri Lee Kim Shin melihat teks penggulungan pada hari ke-7 Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak. • Foto HERRIEY NAHA
KUCHING: Industri pengeluaran beras di negeri ini hanya mampu memenuhi 38 peratus daripada keperluan beras Sarawak, kata Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah berkata, bagi memenuhi keperluan beras itu Sarawak terpaksa mengimport 145,468 tan metrik beras pada 2021, bernilai RM387 juta.
“Tahap sara diri beras (SSL) yang rendah telah memberi kesan kepada keselamatan makanan semasa di Sarawak di mana jumlah hektar padi di Sarawak telah menurun dengan agak ketara daripada sekitar 130,000 hektar pada 2012 kepada kira-kira 83,000 hektar pada 2021.
“Oleh itu, jumlah beras yang dihasilkan juga telah berkurangan daripada 142,000 metrik tan pada 2012 kepada kira-kira 89,200 tan,” katanya pada ucapan penggulungan persidangan hari ketujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19, semalam.
Sehubungan itu, bagi mencapai tahap tahap sara diri bekalan beras yang memuaskan iaitu 60 peratus bagi beras yang disasarkan untuk dicapai menjelang 2030, kemeterian telah menggariskan enam inisiatif utama berikut untuk meningkatkan pengeluaran beras di Sarawak.
“Ini bagi membolehkan skim-skim ini sesuai untuk penanaman padi dan mengurangkan tanah padi daripada ditukar oleh petani kepada penanaman tanaman yang lebih menguntungkan seperti kelapa sawit,” ujarnya.
Antara inisiatif lain adalah dengan membangunkan kawasan baru untuk Penanaman Padi, kawasan baharu yang dikenal pasti untuk penanaman padi berair termasuk 100 hektar di Kampung Mujat di Bahagian Serian dan di Abok-Selepong di Bahagian Sri Aman dengan anggaran keluasan 3,000 hektar.
“Kementerian akan secara aktif meneruskan model perkongsian awam-swasta untuk meningkatkan penglibatan sektor swasta untuk melabur dalam penanaman padi dan di bawah inisiatif ini, kerajaan akan menyediakan infrastruktur asas padang seperti pembinaan sistem pengairan tertiari dan kemudahan lain.
“Manakala sektor swasta akan melabur dalam pengeluaran padi, pemprosesan lepas tuai dan pemasaran beras. Model baharu iaitu Model Penanaman Padi Berskala Besar SMART (SMART SBB) akan dilaksanakan di Sarawak,” jelasnya.
Katanya lagi, inisiatif mekanisasi ladang dan automasi akan dipromosikan kepada penanam padi di Sarawak ke arah meningkatkan produktiviti.
Selain itu, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) digalakkan untuk menyediakan perkhidmatan mekanisasi ladang kepada ahli mereka ke arah mencapai produktiviti yang lebih tinggi.
“Bagi pengeluaran benih padi yang berkualiti, petani kita digalakkan untuk mengusahakan varieti hasil tinggi yang mempunyai potensi hasil 8 hingga 10 tan metrik sehektar.
“Kementerian juga akan bekerjasama dengan institusi penyelidikan dan akademik serta firma swasta yang lain untuk mengeluarkan benih padi hasil tinggi bagi meningkatkan produktiviti padi.
Justeru itu, katanya, insentif pengeluaran padi kepada pesawah dan pengeluar padi akan diperkenalkan oleh kementerian bagi meningkatkan pengeluaran padi domestik.
“Insentif berasaskan output ini bertujuan untuk menggalakkan pemilik tanah memaksimumkan penggunaan tanah mereka untuk penanaman padi sekali gus meningkatkan pengeluaran padi,” katanya lagi.
Oleh JEAKQLEYN YACHO