ELAINE Thompson-Herah ketuai cabaran di kejohanan Prefontaine Classic Diamond League. • Foto AFP
RATU pecut Olimpik dari Jamaica, Elaine Thompson-Herah akan mengetuai kumpulan bintang dalam acara 100m wanita di kejohanan Prefontaine Classic Diamond League hujung minggu ini di Oregon, demikian disahkan oleh pihak penganjur semalam.
Thompson-Herah, juara Olimpik 2016 dan 2020 dalam acara 100m dan 200m, akan turun ke balapan di Hayward Field di Eugene pada hari Ahad dalam barisan yang penuh dengan bakat.
Pelari berusia 29 tahun itu sepatutnya berlumba dalam pertemuan Birmingham Diamiond League, Ahad lalu tetapi telah menarik diri lewat selepas mengadu sakit bahu.
Sebaliknya, Thompson-Herah bertanding di Kingston pada hujung minggu, dengan selesa memenangi acara 100m dengan catatan 10.94 saat. Pelari Jamaica itu turut berlumba dalam acara 200m pada pertemuan yang sama, mencatat masa 22.55 saat.
Pada hari Ahad, Thompson-Herah sekali lagi akan berlumba menentang bintang AS, Sha’Carri Richardson.
Richardson memenangi ujian Olimpik AS tahun lepas — juga diadakan di Hayward Field — tetapi kemudiannya dihalang daripada bertanding di Olimpik Tokyo yang tertangguh akibat pandemik selepas disahkan positif ganja.
Pelari berusia 22 tahun itu bertanding menentang Thompson-Herah di Prefontaine tahun lalu, yang diadakan selepas Sukan Olimpik, tetapi menamatkan saingan di tempat terakhir.
Nama bintang lain yang bertanding dalam acara 100m wanita hujung minggu ini termasuk juara 200m dunia Britain, Dina Asher-Smith, dan pemenang pingat gangsa 100m Olimpik, Shericka Jackson.
Turut disertakan ialah pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2019 Marie-Josee Ta Lou, juara 100m remaja dunia 2019 Briana Williams, duo AS Teahna Daniels dan Twanisha Terry, dan juara 60m tertutup dunia Mujinga Kambundji. – AFP