NURZILLA MOHAMAD
SIBU: Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting berjalan kaki sekitar bandar Sibu bagi memastikan orang ramai terutama premis perniagaan yang mula beroperasi semalam, mematuhi SOP di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Secara keseluruhannya, kata Ting, beliau berpuas hati dengan kadar pematuhan yang ditunjukkan oleh orang awam dan pemilik premis perniagaan di sini.
“Sepanjang tinjauan saya pagi ini, kedai kopi tidak sesak dengan orang ramai dan mereka mengamalkan penjarakan sosial, tetapi kenderaan agak sesak di atas jalan.
“Keadaan di bank dan perkhidmatan penting yang lain sedikit sesak, mungkin juga disebabkan kedai kopi dan kedai makan sudah beroperasi semula,” katanya ketika ditemui pemberita ketika melakukan tinjauan di sebuah kedai kopi di Jalan Tuanku Osman.
Bagaimanpun, katanya, terdapat segelintir kedai kopi dan orang awam yang tidak mematuhi SOP yang dikenakan oleh kerajaan tersebut.
Oleh itu, tegas Ting, tanggungjawab membendung penularan wabak Covid -19 bukan hanya terletak pada bahu pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja, sebaliknya semua pihak.
“Jika orang ramai masih kekal dengan ‘cara lama’ tanpa mempedulikan arahan dari PBT dan kerajaan, peluang untuk Covid -19 menular dengan lebih luas adalah cerah sekali.
“Sebab itu pemilik kedai kopi perlu memainkan peranan mereka untuk memastikan perkara ini tidak berlaku dan sentiasa mengutamakan penjarakan sosial.
“Pihak berkuasa tidak dapat memantau kamu sepanjang masa, selebihnya kamu perlu memastikan keselamatan diri sendiri agar tidak dijangkiti virus ini,” katanya.
Di samping itu, katanya, terdapat juga pemilik kedai kopi masih belum beroperasi seperti biasa kerana kurang memahami SOP yang dikeluarkan dan bimbang dengan risiko Covid -19.
Menurut Ting, beliau bersama penguatkuasa MPS akan meneruskan tinjauan dan pemantauan setiap hari bagi memastikan pemilik peremis perniagaan dan orang ramai menjaga penjarakan sosial dan mematuhi SOP sepanjang tempoh PKPB ini.