SIDANG MEDIA… Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah semasa sidang media berkenaan dengan Juh Bermukun Performance Longest Non-Stop Live Broadcasting di Hotel Samudra, di sini, semalam.
KUCHING: Program ‘Jum Bermukun 76 Jam Tanpa Henti’ untuk catatan The Malaysia Book of Records bakal disertai 76 peserta mukun dari pelbagai daerah.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, mereka terdiri daripada peserta mukun dari Daerah Kuching, Samarahan, Mukah, Miri, Bintulu dan bahkan peserta mukun dari Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Ia akan diadakan di Auditorium P.Ramlee, RTM Kuching pada 27 Mei ini bermula jam 5 petang dan akan diteruskan hingga 30 Mei 9 malam dengan jumlah keseluruhan ialah 76 jam tanpa henti.
“Para pemukun akan dibahagikan kepada kumpulan dengan setiap kumpulan akan mempersembahkan dalam jangka masa satu jam 30 minit,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berkenaan dengan Juh Bermukun Performance Longest Non-Stop Live Broadcasting di Hotel Samudra, di sini, semalam.
Tambahnya, program tersebut akan disiarkan di semua saluran radio RTM secara lintas langsung pada masa yang sesuai di saluran masing-masing.
Selain itu, katanya ia turut disiarkan secara langsung di saluran TV1 menerusi Saluran Berita Ehwal Semasa, Selamat Pagi Malaysia serta saluran radio seperti SARAWAKfm, WAIfm seluruh negeri dan REDfm.
“Bertepatan dengan tajuk ‘Longest Non-stop Live Broadcasting Bermukun Performance’, persembahan tersebut juga akan disiarkan secara langsung sepanjang 76 jam tanpa henti di platform media sosial Facebook RTM Sarawak.
“Sepanjang 76 jam bersiaran, pendengar setia boleh menyertainya dengan membuat panggilan terus (call-in) agar sesi membeli dan menjual pantun dapat dilakukan secara langsung dengan pemantun serta seh gendang melalui talian khas yang akan diuar-uarkan nanti,” tambahnya.
Menjelas lanjut, Karim berkata dengan wujudnya persefahaman dengan rakan-rakan LABUANfm dan SABAHfm, usaha sedang dilakukan dengan mewujudkan ‘Stesen Kembar’.
Tambahnya, ia bagi membolehkan ketiga-tiga stesen menyiarkan Juh Bermukun secara serentak agar peminat setia di tiga kawasan tersebut dapat berinteraksi.
Tambahnya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadualkan hadir bagi menyempurnakan acara penutup Program ‘Jum Bermukun 76 Jam Tanpa Henti’ pada 30 Mei.