CHERYL LAW
KUCHING: Kerajaan memutuskan untuk mengagihkan penutup hidung dan mulut secara percuma kepada rakyat Malaysia yang memerlukan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini disambut baik oleh seluruh rakyat jelata.
Ketika tinjauan Utusan Sarawak semalam, seorang pembantu farmasi bernama Cynthia Lim, 25, menyambut positif bantuan kerajaan berkenaan kerana ia dilihat sebagai usaha untuk membantu rakyat yang kurang berkemampuan dalam mendapatkan barang berkenaan sekali gus membantu pihak hospital yang kini kekurangan penutup hidung dan mulut.
“Dengan adanya pemberian penutup hidung dan mulut secara percuma daripada kerajaan kita, ia serba sedikit dapat mengurangkan penyebaran wabak Covid-19 dalam kalangan rakyat,” katanya yang juga sala seorang daripada penerima penutup mulut dan hidung berkenaan secara percuma.
Cynthia berharap agar rakyat mengguna pakai penutup mulut dan hidung dengan sebaiknya dan tidak mengeksploitasi pemberian percuma ini untuk mengaut keuntungan. Dalam masa yang sama, dia juga berharap agar penyebaran Covid-19 dapat dikawal di Sarawak.
Seorang pelajar, Ennike Semilan, 23, berasa lega dengan bantuan ini kerana ia dapat membantu rakyat yang memerlukannya.
“Kebanyakkan kedai dan farmasi telah kehabisan stok produk ini. Saya percaya kerajaan bertindak sedemikian supaya kesedaran dapat dipertingkatkan mengenai bahayanya virus ini sekiranya kebersihan diri diabaikan. Kerajaan amat prihatin akan keselamatan dan hal ehwal rakyat.
Ennike Semilan juga berharap rakyat terus mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan dan wabak Covid-19 ini dapat dibendung dengan segera. Saya percaya kuasa Tuhan pasti menyelamatkan kita semua.
Sementara itu, seorang kerani, Jessy Liew, 49, berkata inisiatif kerajaan Malaysia untuk memberi penutup hidung dan mulut kepada rakyat Malaysia adalah langkah yang baik.
“Ini kerana adalah sukar untuk mendapatkan penutup mulut dan hidung ketika wabak Covid-19.
Memandangkan stok penutup hidung dan mulut seringkali kehabisan stok sejak penularan wabak Covid-19 yang melanda negara kini, pemberian secara percuma penutup mulut dan hidung menunjukkan kerajaan peka dan bersungguh-sungguh melindungi rakyat.
Terutamanya bagi golongan masyarakat yang berpendapatan rendah untuk melewati kesulitan pada ketika gawat ini.
“Walaupun saya mendapat secara percuma atau tidak, saya berasa berasa gembira kerajaan bersungguh-sungguh membantu rakyat,” kata Jessy.
Ujarnya, saya berharap wabak Covid-19 berakhir dengan cepat dan menemui vaksin untuk merawat dan mencegah wabak Covid-19.
“Saya gembira jika menerima pemberian topeng muka secara percuma dan kita bersama-sama berdoa semoga wabak Covid-19 berakhir dan vaksin ditemui secepat mungkin,” tambahnya.