PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk tidak mengenakan Permit Import (AP) bagi mengimport sebarang bahan makanan berkuat kuasa serta merta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannya semalam bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.
“Ini akan membolehkan semua pihak untuk mengimport sebarang bahan makanan ke negara ini,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Puspanitapuri di sini semalam.
Katanya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengumumkan butiran lanjut berhubung AP untuk import bahan makanan itu.
“Dulu ada AP daging dan lembu, mulai hari ini tidak ada lagi dan sesiapa sahaja boleh import apa sahaja bahan makanan dari negara luar untuk pastikan cukup bekalan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Malaysia mungkin mengalami krisis makanan yang teruk sekiranya pelbagai masalah seperti inflasi, kenaikan harga minyak, cuaca ekstrem, pandemik Covid-19 dan konflik antara Rusia dan Ukraine berlarutan.
Setiap tahun Malaysia merekodkan lebih RM50 bilion import bahan makanan asas, dengan barangan seperti beras sebanyak 30 peratus, daging lembu (78 peratus), daging kambing (hampir 90 peratus) dan sayur kobis bulat (60 peratus).
Ismail Sabri berkata, beliau juga telah mengarahkan MAFI untuk menyediakan pelan jangka panjang dan pendek bagi mengelak berlakunya krisis makanan di negara ini susulan isu seperti konflik Rusia-Ukraine.
“Kita tahu seluruh dunia bimbang, bukan kita sahaja bimbang dengan kesan perang yang sebabkan kekurangan dari segi bekalan makanan. MAFI juga diminta mengambil tindakan segera berhubung isu kos sara hidup yang meningkat,” katanya.
Fenomena akibat konflik Rusia-Ukraine memberi kesan kepada seluruh dunia apabila inflasi pelbagai negara terus meningkat.
Mengenai laporan sekumpulan kartel industri ternakan ayam merancang menutup ladang ternakan sebagai protes kerana bayaran subsidi harga ayam lambat, Ismail Sabri berkata beliau telah meminta MAFI untuk mencepatkan dari segi pembayaran itu.
“Saya pun dapat laporan ada prosedur tertentu agak melewatkan, jadi kita minta MAFI supaya mencepatkan dari segi pembayaran,” katanya.
Menurut laporan media, sekumpulan kartel industri ternakan ayam didakwa merancang menutup ladang ternakan pada Sabtu dan Ahad ini sebagai protes kepada kerajaan yang dikatakan lambat melakukan bayaran subsidi harga ayam sebanyak 60 sen. – Bernama