KETIKA berbual sambil minum kopi bersama seorang Timbalan Menteri di Metro City, Kuching baru-baru ini, penulis bangkitkan isu hak Sarawak dan peranannya sebagai ‘king maker’ dalam politik negara.
Biar Sarawak ada ‘bargaining power’ atau kuasa tawar-menawar untuk menentukan gabungan parti mana harus menguasai Kerajaan Persekutuan.
Kelebihan sebagai ‘king maker’ bukan sahaja menentukan parti mana harus memerintah di Putrajaya, malah sebagai talian hayat berterusan untuk Sarawak mendesak dikembalikan hak-haknya yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Kuasa tawar-menawar ini amat penting, bukan setakat ‘mengangkat’ parti mana dan siapa layak jadi Perdana Menteri, malah menjatuhkannya apabila berlaku penarikan sokongan andai tuntutan Sarawak tidak dilayan selayaknya. Ini cuma andaian senario bukan niat lain.
Tentu kita masih ingat peristiwa tahun lalu dalam episod pemilihan jawatan Perdana Menteri antara Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri kelapan, pada 16 Ogos 2021.
Untuk beberapa ketika, semua pihak main angka dan komposisi Ahli Parlimen yang memihak Ismail Sabri dan Anwar yang pada mulanya kelihatan seimbang.
Kemudian semua mata tertumpu kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mempunyai 18 Ahli Parlimen dan menjadi rakan kerjasama utama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika itu.
Hanya apabila GPS menyatakan pendirian, barulah pelayaran bahtera Ismail Sabri, untuk menyandang jawatan Perdana Menteri kesembilan berjalan lancar, sekali gus menjadi kenyataan.
Timbalan Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sedang menghirup kopi panas itu, kelihatan serius dan memahami situasi yang saya jelaskan.
Kemudian saya ajukan satu lagi senario kepada beliau – andai Kerajaan Persekutuan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti dikuasai parti tertentu atau gabungannya memperoleh majoriti banyak atau dua pertiga di Dewan Rakyat, apa akan jadi?.
Sarawak mungkin kehilangan peranan ‘king maker’ atau dalam bahasa mudah – tanpa sokongan GPS, pihak di sana tetap kukuh bersama majoriti besar membentuk Kerajaan Pusat.
“Jika ini berlaku, apakah suara anda (GPS) didengar lagi?. Apakah desakan untuk terus pulangkan hak Sarawak dalam MA63 akan diberi perhatian?, “ kata saya kepada timbalan menteri itu lagi.
Tak perlulah saya coretkan komen beliau di sini, takut nanti dipetik sewenang-wenangnya oleh pihak lawan.
Apakah keterlaluan jika kita kata biarlah kedudukan parti yang memerintah Kerajaan Persekutuan terus berada dalam keadaan majoriti tipis, supaya Sarawak atau Sabah boleh berterusan menjadi ‘king maker’?.
Ketidakstabilan politik pula satu hal – hari-hari bermacam kenyataan berbaur politik terkeluar, menyebabkan rakyat berasa rimas apatah lagi jika berlaku lompat melompat parti.
Matlamat kita tiada lain melainkan terus memperjuangkan hak seperti terkandung dalam MA63, dikembalikan ke Bumi Kenyalang.
Ini bukan bermakna, andai tiada lagi kuasa tawar-menawar, Kerajaan Pusat sudah tidak memberi perhatian terhadap kehendak Sarawak. Namun, jika ada kuasa tawar-menawar, senarionya amat berbeza, tekanan kepada pihak di sana lebih terasa.
Kita tentu ingat lagi, pada 2018, Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) telah menangguh serta membatalkan beberapa projek jambatan yang telahpun diluluskan pembinaan oleh kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional (BN).
Pada Mac 2019, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengkritik kerajaan PH dan menggelarnya buruk siku selepas menarik balik projek pembinaan Jambatan Batang Lupar, Jambatan Igan dan Jambatan Rambungan.
Selain tiga jambatan tersebut, kerajaan PH juga didakwa membatalkan projek-projek pembangunan kecil lain yang bernilai RM20,000 hingga RM30,000.
Namun, kerajaan GPS meneruskan projek jambatan dengan pembiayaan sendiri.
Kita bersyukur apabila Sarawak berjaya memaksa Petronas (melalui mahkamah) membayar cukai jualan ke atas produk petroleum iaitu RM2 bilion bagi 2019 dan kita tunggu berapa banyak akan Sarawak terima pada 2020 dan 2021, yang boleh dibelanjakan untuk projek pembangunan bagi kepentingan rakyat.
Sebab itulah Sarawak bersungguh-sungguh mahukan hak seperti dalam MA63 dikembalikan.
Antara yang paling penting ialah perkongsian pendapatan negara yang perlu dibahagikan kepada tiga pihak iaitu Persekutuan Malaya, Sabah dan Sarawak yang membentuk Persekutuan Malaysia pada 1963.
Untuk perkongsian peruntukan pembangunan, contohnya dalam Bajet 2022 mempunyai peruntukan berjumlah RM332.1 bilion.
Jika mengikut konsep perkongsian tiga wilayah, Sarawak dan Sabah, masing-masing sepatutnya dapat RM110.7 bilion.
Tetapi Sarawak diagih hanya RM4.67 bilion, manakala Sabah RM5.16 bilion.
Bayangkan jika kita diberi peruntukan RM110.7 bilion, bukan sahaja semua lapan jambatan utama boleh siap dengan cepat, kita boleh bina banyak lagi jambatan bagi menyeberangi mana-mana sungai supaya semua boleh dilalui dengan mudah oleh kenderaan seperti menggantikan feri di Peradom antara Sibu dan Sarikei/Bintangor, sekali gus memendekkan lagi perjalanan selain merentasi banyak sungai di pedalaman Marudi, Limbang dan Lawas.
Malah, sepanjang laluan Pan Borneo dan Lebuh Raya Pesisir, boleh dilengkapi deretan tiang lampu – menerangi laluan pengguna waktu malam seperti terangnya di Lebuh Raya Utara Selatan di Semenanjung.
Ini yang kita mahu, bukan semata-mata kerana politik apabila menjadi ‘king maker’ tetapi sesuatu yang lebih besar daripada itu, untuk kepentingan negeri dan rakyatnya yang selama ini bagaikan dianaktirikan.
Bab lain yang turut dituntut Sarawak sejajar dengan MA63 ialah mahukan satu pertiga kerusi Parlimen, hak maritim serta ketiadaan wakil Sarawak dan Sabah dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan banyak lagi.
Isu tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen bagi Sarawak dan Sabah juga hangat dibincangkan sebelum ini.
Sebelum Singapura keluar dari Malaysia pada 1965, komposisi Ahli Parlimen di Semenanjung Malaysia kurang daripada dua pertiga.
Bila Singapura sudah tiada, kesemua 15 kerusi Parlimen Singapura ketika itu diserahkan kepada Persekutuan Tanah Melayu tanpa dibahagi kepada Sabah dan Sarawak.
Mengikut Perjanjian Malaysia 1963, termaktub bahawa Sarawak dan Sabah, harus memiliki satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat.
Pada 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi, Sarawak 24 kerusi dan Singapura 15 iaitu mewakili 35 peratus dari keseluruhan 159 kerusi Parlimen, manakala baki 65 peratus atau 104 kerusi adalah untuk Tanah Melayu. Tanah Melayu tidak mempunyai majoriti dua pertiga ketika itu.
Oleh itu, apabila Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, kerusi yang dimiliki Singapura seharusnya diberi kepada Sabah dan Sarawak bagi mengekalkan perwakilan 35 peratus itu.
Justeru, setelah ketiadaan Singapura, seharusnya kerusi yang dimiliki republik itu diberi kepada Sabah dan Sarawak sekali gus mengekalkan kuota satu pertiga seperti dalam MA63.
Tambahan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak itu akan dapat memberi keseimbangan suara sekali gus sebagai jaminan hak negeri yang sepatutnya didengari.
Kini, Dewan Rakyat mempunyai sejumlah 222 kerusi membabitkan 166 kerusi atau 75 peratus di Semenanjung Malaysia, manakala baki 56 kerusi adalah di Borneo iaitu 31 kerusi di Sarawak dan 25 kerusi di Sabah.
Seperti kata, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, komposisi 35 peratus kerusi Parlimen itu sudah termaktub dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
IGC menyatakan bahawa dahulu sebelum Singapura keluar dari Malaysia, komposisi itu sepatutnya satu pertiga di dalam Parlimen.
“Namun selepas itu, jumlah ini sekarang berkurangan, jadi inilah hak kita yang kita mahukan semula supaya lebih ramai lagi wakil-wakil rakyat kita (Sarawak dan Sabah) berada di dalam Parlimen. Perkara ini jelas dinyatakan menerusi Laporan IGC selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Mungkin usaha untuk menambah jumlah kerusi Parlimen di Sarawak dan Sabah tidak sempat untuk diguna pakai pada pilihan raya umum ke-15 akan datang kerana kesuntukan masa.
Seperti kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, cadangan menambah kerusi Parlimen serta persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sabah dan Sarawak harus dibuat melalui proses perundangan yang betul seperti terkandung dalam Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, berdasarkan Perkara 113 itu sebarang kajian semula persempadanan hanya boleh dilakukan dalam masa lapan tahun sekali.
Kajian semula persempadanan yang terakhir untuk Sarawak adalah pada 2015 dan Sabah pula pada 2017.
Maknanya untuk Sarawak, jika nak lihat penambahan kerusi parlimen ia hanya akan berlaku selepas lapan tahun iaitu pada 2023.
Diharap usaha ini dapat dilakukan mulai tahun depan, supaya ia boleh diguna pakai pada PRU-16. * Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak