Oleh Roslan Jomel
“Kita lebih menderita dalam imaginasi berbanding realiti” – Seneca, ahli falsafah, dramatis.
SALAH seorang daripada pengarang yang saya minat, Anthony N. Fragola, telah menulis sebuah cerpen bertajuk “Impian Imigran”. Cerpen berlatarbelakangkan Pulau Sicily itu mengisahkan seorang lelaki bernama Francesco dengan kehidupannya sebagai renjer hutan Pinus yang melitupi lereng Etna. Gunung berapi yang dikaguminya itu setiap hari mengeluarkan asap di kawah. Dan itulah yang meneguhkan jiwanya agar terus setia dengan pekerjaan dan setia berbakti mempertahankan kawasan di sekeliling. Francesco yang lebih cenderung dengan gaya tradisi telah diberikan pekerjaan yang terhormat dan alangkah bertuahnya diberi tanggungjawab untuk melindungi hutan yang dianggap suci itu. Sikapnya yang pendiam amat sesuai dengan pekerjaan di hutan terpencil yang menjadi kebanggaan masyarakat setempat. Namun muncul sepupunya, bernama Beppe, yang lebih gemar bergaya bandar dan pemalas pula orangnya. Francesco dihasut untuk meninggalkan pekerjaannya dan mencuba nasib ke Amerika yang bakal menawarkan kekayaan berbanding terus kekal di kampung. Beppe, si lelaki penganggur bahkan memperdayakan Francesco konon gunung-gunung di Amerika kaya dengan timbunan emas yang disembunyikan oleh penakluk Sepanyol setelah menewaskan kaum Indian. Wajar sahaja Francesco terliur oleh cerita yang didengarinya itu. Siapa tahu sepupunya berkata benar dan Francesco bakal mengangkut kekayaan ke kampung. Malangnya, realiti hanyalah indah khabar daripada rupa. Francesco bukan sahaja tertipu, lebih teruk daripada itu, harga dirinya telah tergadai dan terpaksa menebalkan muka menjadi kutu rayau di kota asing. Emas yang dikhabarkan oleh Beppe hanyalah cerita karut dan tidak berasas sama sekali. Tujuan sesungguhnya Beppe lebih bermaksud untuk memusnahkan kehidupan dan masa depan Francesco. Demikianlah sia-sianya kerana terlalu mengejar bayangan sehingga Francesco terbenam dalam impian fatamorgananya.
Walaupun tidak sepersis cerpen yang saya nyatakan di atas, naskhah “Hanyut”, karangan Benedict anak Samling hampir mengungkapkan hal serupa – terpengaruh oleh janji-janji manis seorang sahabat untuk meraih kekayaan, yang entah benar atau sekadar khayalan. Tajuk naskhah itu juga mengingatkan saya akan filem bertajuk “Hanyut”, arahan Uwei Haji Shaari. Namun apa yang membezakan kedua-dua naskhah, karangan Anthony N. Fragola dan Benedict anak Samling, ialah tahap kompleksiti struktur penulisan. Jelas hasil garapan oleh Anthony N. Fragola lebih terperinci dalam pelukisan jiwa watak utama dan meninggalkan kesan secara psikologi kepada pembaca. Impak yang kuat terasa melekat dalam sanubari pembaca apabila mengenangkan pengkhianatan yang dilakukan sepupu Francesco, iaitu Beppe, yang sebenarnya berasa cemburu kerana pinangannya telah ditolak. Kecelaruan emosi dan keruntuhan moral yang ditanggung Francesco menjadi subjek tumpuan yang telah dideskripsikan dengan cemerlang oleh Anthony N. Fragola.
Kehidupan dalaman Igat mula menjadi jungkir balik akibat terpedaya oleh kata-kata manis sahabatnya, Dom. Apa yang diceritakan oleh Dom? Konon terdapat sebuah bukit istimewa bakal memberi laba dan kemewahan buat sesiapa sahaja yang ingin menaklukinya di tengah bandar raya Kuching. Bukit yang digambarkan oleh Dom itu sungguh indah rupanya, dipenuhi oleh bunga orkid dan rama-rama cantik. Bunyinya secara tersurat sudah cukup mengkhayalkan. Lambat-laun Igat, kemudiannya mempercayai bujukan nuraninya dan enggan bersikap rasional. Gara-gara cemburu melihat status kehidupan Dom yang saban waktu menganjurkan parti keraian di rumah agamnya, Igat mula terjerat oleh ilusinya sendiri. Siapa yang tidak mahu kaya?
Tetapi Igat mula berasa curiga dan sangsi. Mustahil ada bukit di tengah bandar raya Kuching. Namun apabila melihat gaya hidup Dom yang serba mewah, terdetik rasa cemburu dalam jiwa Igat. Di bawah sedar, Igat bermonolog dengan intensif dan cuba mempertimbangkan keputusannya.
“Terlintas di fikirannya, sampai bila dia perlu mengotorkan tapak tangannya dengan tanah hitam di cerun bukit yang tidak seindah bukit yang diceritakan oleh Dom? Terlintas juga di fikirannya, apakah benar ada bukit yang menjanjikan nikmat kehidupan yang dicari gali oleh setiap manusia? Jika benar, kenapa tidak dibawa seluruh umat manusia yang kurang bernasib baik untuk mengubah hidup mereka? Sekurang-kurangnya ada tempat untuk mereka menabur kasih yang sudah lama ditandus keperitan hidup. Bertubi-tubi persoalan menerpa ke dalam hati Igat, persoalan yang dia sendiri kurang pasti akan jawapannya.”
Apakah salahnya pergi mencuba? Igat yang teguh dengan prinsipnya kian cair oleh fantasinya sendiri. Barangkali benar, kekayaan yang dikumpul oleh Dom, mungkin datang dari bukit misteri di tengah bandar raya Kuching. Namun, mengapakah Dom tidak merahsiakan hal itu? Mengapakah Dom membocorkan sumber kemewahan hidup kepadanya? Apakah tujuan sebenar Dom? Perlukah dia mengikut kata nalurinya atau bertahan dengan keyakinan bahawa terus sahaja bekerja di kampung? Tidak mungkin Dom membohonginya. Demikian Igat masih lagi terikat oleh kata-kata manis yang dilafazkan oleh Dom. Malahan Dom sendiri mengatakan bahawa tanpa bukit yang dimaksudkan itu, dengan segala sumber kekayaannya, mustahil dia berada dalam keadaan sekarang. Sejak menamatkan persekolahan, Dom berhijrah ke bandar, sedangkan Igat masih menetap di kampung sebagai petani. Betapa jauh bezanya kedudukan mereka berdua sekarang. Hal itu menajamkan kecemburuan Igat.
Igat sudah pun berasa terjamin dengan pendapatannya menanam halia bersama-sama dengan isterinya di kampung. Berpuluh-puluh tan halia dituai dan kemudian dijual ke serata daerah Sarawak, dari Ulu Kapit sehinggalah ke Ulu Padawan. Berkat kegigihannya, Igat berjaya menukar permukaan bumi yang ditumbuhi lalang menjadi lapangan untuk meraih sumber pendapatan keluarganya. Bukankah itu lebih membanggakan harga dirinya sebagai seorang lelaki? Walaupun di sudut kalbunya, masih tersimpan rasa kekurangan jika dibandingkan dengan kesenangan yang diperoleh Dom di bandar. Dom yang sering membangga-bangga status dirinya, memandang hina jenis pekerjaan yang dilakukan oleh Igat. Tidak berdaya saing. Ketinggalan zaman dan malahan kotor pula kerana bergelumang dengan tanah.
Dom menempelak Igat, “Tidak mungkin selama-lamanya kau buat kerja kotor ini.” Telinga dan perasaan Igat sudah tentu ngilu mendengar cemuhan sebegitu. Tidak cukup menghangatkan hati Igat, Dom menunjukkan wang yang diikat berketul-ketul di dalam beg semasa menghampiri Igat di tempat dia bertani. Tujuannya semata-mata untuk memperagakan kekayaan diraihnya datang dari bukit yang masih menjadi misteri buat Igat. Namun, bau wangi daripada tanaman halianya seperti tidak mampu mengatasi keharuman wang yang dibawa oleh Dom. Semua wang itu berwarna ungu! Berbanding Dom, Igat seorang yang lebih suka merendah diri. Tidak gemar menunjuk-nunjuk. Pendapatannya selama menanam halia sudah lebih mencukupi malahan hasilnya pernah disumbangkan kepada warga rumah panjang dan saudara-maranya. Kekayaan sebanyak mana lagi yang hendak dikejar? Tetapi sebagai manusia biasa, Igat akhirnya tunduk kepada bujukan Dom.
Setelah berminggu-minggu dilimpahi oleh cerita bukit sakti di tengah bandar raya Kuching, Dom bersetuju untuk mendatanginya. Sudah tentu Dom gembira apabila sahabatnya itu kemudian mengalah oleh pujukan manis. Namun, ada kos yang perlu dibayar untuk meneruskan misi kekayaan itu. RM10 ribu diperlukan sebagai ongkos untuk mendaki bukit itu. Kadar bayaran itu bagaikan suatu rompakan pada siang hari buat Igat. Sebagaimana insiden yang dialami oleh watak utama dalam cerpen “Impian Imigran”, Igat juga ditenggelami oleh imaginasi dan mimpi ngeri yang mendebarkan dirinya. Dalam mimpinya, Igat begitu terpesona oleh tangga berwarna kekuningan yang pada jangkaannya sudah tentu diperbuat daripada emas. Jadi, nyatalah bahawa sememangnya bukit yang diceritakan oleh Dom memiliki emas dan segala galian berharga. Namun, bayangan tragedi mula menghambat Igat sebaik sahaja melangkah kakinya untuk menaiki tangga bukit.
Dalam jaringan mimpinya, Igat dilanggar ketulan batu-batu bersaiz sepemeluk orang dewasa. Kaki Igat tersekat pada rekahan anak tangga sementara ketulan batu-batu meluru ke arahnya. Siapakah yang mendengar laungan dan permintaan tolongnya ketika itu? Dom? Ketika bergelut dengan situasi yang hampir meragut nyawa, Igat dikejutkan oleh isterinya. Rupa-rupanya Igat sedang bermimpi. Cerita dalam mimpi. Atau mimpi dalam mimpi. Igat yang dibelenggu oleh cerita Dom, bermimpi sedang menakluki bukit misteri di tengah bandar raya Kuching. Alangkah bersyukurnya Igat apabila diberitahu bahawa tragedi yang sebentar tadi dilaluinya hanyalah imaginasi sahaja. Dan apabila isterinya memaklumkan bahawa halia mereka telah laku sebanyak dua puluh tan, kegelapan yang menakutkan dirinya telah tersingkir jauh bersama-sama naratif palsu yang didendangkan oleh Dom. Igat terselamat oleh pujukan manis sahabatnya. Bayangkan, apakah yang akan terjadi jika Igat menurut sahaja kata-kata Dom dan menyerahkan duit sebanyak RM10 ribu sebagai bayaran mendaki bukit yang masih lagi menjadi igauan buatnya? Sudah pasti dia bakal mengalami kerugian dan ditipu oleh sahabatnya yang berniat jahat itu.
Benarlah luahan Igat pada hujung naskhah “Hanyut”. Sungguh dia sedar, kehidupan megah, mewah dan gah cuma khayalan, seperti bukit yang diceritakan, hanya khayalan semata-mata! Khayalan yang menghanyutkan. Cubaan Dom untuk mengheret fikiran Igat menuju ke bukit di tengah bandar raya Kuching telah terbendung. Secara rasional, cerita tentang bukit oleh Dom tidak ubah seperti suatu bentuk penipuan yang sering berlaku pada masa kini. Biarpun Igat benar-benar sudah mempercayai cerita tentang bukit itu, namun, jauh di sanubari kalbunya, Dom hanyalah si penipu yang cuba mempermainkan akal dan kebijaksanaannya. Kedatangan Igat ke tengah bandar raya Kuching berakhir dengan kekecewaan batinnya. Begitu jauh dia meninggalkan isteri dan kampung halaman semata-mata ingin mencari sesuatu yang belum wujud. Dia meraba-raba dalam kegelapan oleh khayalan yang dibina oleh Dom. Mujur dia sempat berfikir dengan waras. Mujurlah juga ia sekadar mimpi.
Karya yang dipersembahkan oleh Benedict Anak Samling merupakan suatu kiasan kehidupan masyakat pada masa kini yang mudah terpedaya oleh kekayaan singkat. Pelbagai bentuk skim penipuan yang disebarkan, sama ada melalui media sosial atau dari mulut ke mulut, demi meraih keuntungan dengan cara tidak sah. Di mana-mana sahaja di atas muka bumi ini, rezeki boleh didapatkan. Di hulu pedalaman atau di tengah bandar raya. Tinggal lagi rajin atau tidak sahaja seseorang itu. Tanah yang terbiar akan hanya menjadi semak dan samun buat seorang yang gemar berkhayal. Demikian juga bagi seorang pemalas, mereka lebih suka menjadi penganggur dan tanpa segan silu meminta bantuan daripada pihak lain untuk mengisi perut di tengah bandar raya. Igat bertuah kerana memiliki seorang isteri yang sanggup bekerja keras demi melangsungkan hidup. Itulah sumber kekuatan moral kepada Igat dan menjadi penangkis kepada hasutan Dom. Isterinyalah menyedarkan Igat yang hampir tertewas dalam hanyutan mimpi mendaki bukit, kononnya bersalut dengan emas.
Walaupun dari sudut temanya, Benedict anak Samling telah mengemukakan suatu persoalan yang relevan dengan gaya hidup masyakat masa kini, namun jika dianalisis kerja pertukangannya daripada dimensi penulisan karya kreatif, karya ini masih dianggap sederhana. Gelombang imaginasi yang diterapkan ke atas Igat tidak begitu mencengkam emosi. Teknik sedemikian sudah lusuh kerana terlalu kerap diaplikasi oleh mana-mana pengarang. Pembaca mahukan karakter yang mampu melukiskan kelakuan Igat dan Dom. Yang dimaklumi hanyalah kekayaan Dom dengan parti keraian di rumah agamnya. Dari manakah Dom menjana pendapatannya sehingga mampu memandu kereta mewah? Apakah pekerjaan hakikinya di bandar sana? Igat yang sebelum ini begitu selesa dengan pendapatan diraihnya hasil daripada tanaman halia, sudah tentu sukar untuk dipancing dengan cerita tidak berasas oleh Dom. Lalu apa sebabnya Igat sanggup datang ke bandar raya Kuching jika kisah tentang bukit itu sekadar pemanis kata sahaja? Apakah sebenarnya agenda Dom berulang-ulang membujuk Igat untuk datang ke bandar raya?
Terlalu banyak ruang yang wajar diisi oleh pengarang naskhah “Hanyut”untuk menggambarkan gejolak dan kekalutan jiwa selaku protagonis semasa dikhabarkan tentang bukit ajaib di tengah bandar raya Kuching itu. Malangnya watak yang mendukung kisah menarik itu terasa tipis dan tidak banyak diselongkar isi jiwanya. Bukan mudah untuk menggugurkan prinsip yang dipegang semata-mata terpengaruh oleh bayangan kemewahan yang ditayangkan di depan mata. Igat sudah tentu berdiskusi dengan batinnya. Sama ada melupakan ajakan Dom atau segera menghampiri bukit yang kononnya mampu memberikan kemewahan itu. Jiwa Igat bergelora. Dom telah membuktikan bahawa kekayaan mampu dicapai andai berhijrah ke bandar raya. Segala lambang kesenangan hidup dipaparkan melalui jenis kereta yang dipandu dan rumah besar diduduki oleh Dom. Tetapi Igat masih sahaja mengotori tangannya dengan tanah bauan halia. Pekerjaan yang tidak berkelas, menurut Dom.
Tetapi Igat yang sentiasa betah tinggal di kampung dan mencari rezeki halal dengan kudratnya sendiri, pasti berfikir panjang terlebih dahulu oleh bujukan sahabatnya. Tetapi, siapa tahu, bahawa cerita Dom memang sahih. Apakah yang perlu dilakukannya? Tinggalkan pekerjaan di kampung dan mencuba nasib di bandar raya? Bukankah itu suatu tindakan yang mendatangkan risiko di belakang hari? Bagaimanakah kalau yang dibujuk oleh Dom semata-mata pendustaan? Lalu ke mana dia meletakkan muka di depan orang kampung? Perincian itulah yang tidak digambarkan oleh pengarang untuk menyokong pembinaan karakter watak utamanya. Tidak sebagaimana yang Anthony N. Fragola lakukan dalam naskhah “Impian Imigran”. Dilema dan suara hati Igat tidak diterjemahkan oleh pengarang dan inilah yang menyebabkan naskhah itu berada pada tahap sederhana sahaja. Saya percaya, Benedict anak Samling akan tampil lagi dengan naskhah yang lebih utuh dan mendalam pula dari sudut pembinaan perwatakannya. Hal ini kerana, dalam naskhah “Hanyut”, pengarang telah membuktikan bahawa dia memiliki perspektif yang baik dalam penulisan fiksyen.