ARAU: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah kemajuan tidak dapat dicapai sekiranya amalan rasuah berleluasa dalam kehidupan seharian masyarakat.
Baginda bertitah perbuatan seperti meminta, menawar, memberi dan menerima rasuah adalah salah disisi agama dan undang-undang negara.
“Amalan rasuah jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak masalah sosial dan seterusnya boleh mengancam kesejahteraan negara,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-79 di Istana Arau, semalam.
Hadir sama Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan barisan exco kerajaan negeri.
Seramai 325 penerima Anugerah Darjah Bebesaran Negeri Perlis sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-79 Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin.
Baginda berkenan menganugerahkan darjah-darjah kebesaran itu kepada 22 orang penerima semalam, manakala 303 orang lagi akan menerima anugerah mereka dalam majlis pada hari lain. – Bernama