VALENTINE NGUMBANG
SIMANGGANG: Pemilik premis makanan di dalam bandar ini menarik nafas lega berhubung perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 4 Mei lalu.
Ini kerana arahan baharu tersebut membolehkan premis makanan mereka kembali beroperasi dengan mengikuti peraturan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Tinjauan pagi semalam mendapati bahawa pemilik premis makanan bertindak menyusun meja sejauh satu meter dengan bilangan pelanggan dihadkan seramai dua orang bagi setiap masa.
Seorang pemilik makanan dalam bandar ini yang enggan namanya disiarkan di sini mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana melonggarkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
“Perniagaan premis makanan adalah punca pendapatan kami sekeluarga.
“Jika arahan lama (PKP) tidak dilonggarkan mungkin perniagaan kami sekeluarga akan gulung tikar dalam tempoh terdekat ini.
“Justeru, kami berterima kasih kepada kerajaan kerana melaksanakan PKPB dan berjanji akan terus mematuhi syarat operasi premis makanan di bawah arahan baharu berkenaan,” katanya.
Seorang penjaja mi yang hanya dikenali sebagai Aling pula memberitahu punca pendapatannya semakin meningkat sejak PKPB tersebut dilaksana oleh kerajaan bagi menggantikan PKP.
Katanya, perlaksanaan PKPB membolehkan pelanggan datang dan terus makan di premis berbanding dengan kaedah beli dan bungkus yang disarankan sebelum ini
“Covid-19 memang berbahaya. Tetapi penduduk di Bandar Simanggang kini sudah membiasakan diri dengan norma baharu seperti penjarakan sosial dan pemakaian penutup hidung dan mulut sejak PKP ini dilaksana pada 18 Mac lalu.
“Justeru, pembukaan semula premis makanan mungkin tidak lagi bermasalah kerana penduduk kini sudah sedar cara mengelak pandemik Covid-19 ketika mereka makan di premis ini,” katanya.
Tinjauan lanjut juga mendapati terdapat premis makanan yang masih belum memulakan operasi berhubung keengganan pemiliknya untuk mengeluarkan duit bagi membeli alat pemeriksaan suhu dan cecair pembasmi kuman.