KENANGAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merakam kenangan bersama pemenang pertandingan bertutong secara dalam talian di Kuching.
KUCHING: Masa depan Sarawak terus cerah dengan politik stabil dan kepimpinan jitu untuk membangun dan mentadbir negeri ini di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, malah Sarawak mengalami kemajuan pesat berkat sokongan dan perpaduan kukuh rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
Dengan kestabilan politik dan perpaduan kukuh itu antara faktor menyumbang kepada kemenangan berganda GPS ketika memenangi 76 kerusi daripada 83 dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) lalu.
“Terima kasih rakyat Sarawak kerana menjaga perpaduan ini yang bukan sahaja kukuh di Satok malah di semua kawasan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perasmian Mesyuarat Perwakilan Tri-Tahunan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N8 Satok Sesi 2022 hingga 2025 dan Ramah Tamah Aidilfitri di sini semalam.
Turut hadir, isteri Premier, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki serta exco Cawangan Satok.
Premier berkata, kerajaan yang dipilih rakyat harus menentukan hala tuju negeri dengan memberi keutamaan kepada tadbir urus yang baik.
Katanya, kepimpinan Sarawak sekarang yang mengguna pakai teknologi terkini membawa negeri ini mengecapi kemajuan dan kepesatan pembangunan.
Dalam hal ini, Abang Johari meminta ahli-ahli Parti PBB supaya menjaga parti dan semangat perjuangan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Kita akan bertanding di 31 kerusi parlimen dan berusaha untuk menang kesemuanya agar GPS memiliki suara kuat di parlimen. In Sya Allah, GPS boleh menang,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, kerjasama kukuh di antara Fadillah dan Ibrahim bergerak seiring untuk mengurus dan memajukan Satok.
Sementara itu, Ibrahim Baki menzahirkan terima kasih kepada perwakilan N8 Satok kerana menunjukkan semangat perpaduan yang jitu menerusi pemilihan pergerakan wanita.
Katanya, pemilihan pergerakan wanita itu berjalan lancar dengan menyaksikan Salina Salleh memenangi jawatan ketua wanita baharu menggantikan Dato Dayang Madinah Tun Openg.
Manakala, pergerakan pemuda dan badan induk semua menang tanpa bertanding.
Terdahulu, Ibrahim Baki menang tanpa bertanding sebagai Ketua Cawangan Parti PBB N8 Satok sementara Mohamad Akram Mohamed Karim, Ketua Pemuda baharu.
“Semangat kita di N8 Satok sangat kuat dan ini perlu dikekalkan,” katanya.