LYSYCHANSK: Sepasukan perubatan Ukraine bergegas ke arah seorang askar yang berdarah selepas terkena tembakan ketika berjuang mempertahankan negaranya daripada pencerobohan Rusia.
Sementara itu, beberapa askar turut membentuk bulatan pelindung mengelilingi pasukan perubatan bagi melakukan pemindahan tentera yang cedera ke hospital berhampiran dengan menaiki ambulans.
Terdahulu, Moscow dan Kiev masing-masing tidak menandatangani Konvensyen 2008 yang melarang penggunaan bom dan roket yang menyebarkan peluru kecil, tetapi boleh membawa maut ke kawasan yang lebih besar seperti padang atau blok bandar.
Penggunaan bom dan roket di Ukraine menyerlahkan sifat kejam menyerang orang awam dan tentera dalam perang selama dua setengah bulan.
Pusat pemeriksaan terakhir menuju ke Bilogorivka, sebuah kampung yang akan membantu Rusia melancarkan serangan ke atas ibu kota pentadbiran timur Ukraine, Kramatorsk jika Bilogorivka jatuh ke tangan Rusia.
Dalam pada itu, Ukraine berhempas pulas dalam usaha yang semakin terdesak untuk mempertahankan barisan hadapannya.
Dua bandar terkepung di sebelah timur Bilogorivka iaitu Lysychansk dan Severodonetsk adalah zon perang yang terbiar, tetapi masih dipertikaikan yang mungkin dituntut oleh Rusia pada bila-bila masa.
Apa yang berlaku di dalam Bilogorivka hampir mustahil untuk disahkan kerana kedua-dua penempatan dan jalan di sekelilingnya dibom dan dibedil tanpa henti dengan pelbagai jenis peluru.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata, 60 orang maut apabila Rusia mengebom sebuah sekolah yang melindungi 90 penduduk kampung pada hujung minggu lalu.
Askar yang muncul dari Bilogorivka tidak dapat mengesahkan dakwaan itu kerana sekolah itu berada di kawasan utara di bawah kawalan Rusia.
“Apa yang boleh anda lakukan… kerajaan adalah kerajaan. Tetapi, kami tidak mempunyai perlindungan.\
“Kami tidak mempunyai senjata mortar. Saya tidak tahu bagaimana unit kami akan melawan?,” ujar seorang pejuang sukarelawan.
Semangat ketenteraan yang melonjak dan sokongan negara yang mencurah-curah kepada tentera memainkan peranan penting kepada keupayaan Ukraine untuk mula-mula mempertahankan Kiev dan kemudian menghalang kemaraan Rusia merentasi timur.
Ini mungkin lebih sukar untuk dikekalkan apabila jumlah kematian meningkat dan kekuatan Rusia yang unggul dari segi jumlah tentera.
Justeru, angka tentera kedua-dua pihak yang terkorban masih sukar disahkan dari segi angka.
Tetapi, pegawai perubatan yang merawat askar yang cedera di pusat pemeriksaan Bilogorivka berpendapat angka tentera yang terkorban jauh lebih tinggi daripada apa yang dialami Ukraine pada permulaan pemberontakan yang disokong Kremlin pada 2014.
“Secara keseluruhan, jika anda melihat statistik, ia sedikit menakutkan,” kata doktor sukarelawan, Yuriy Kozhumyaka selepas membantu mengangkat askar yang cedera ke dalam ambulans.
“Anda mesti bersedia untuk itu. Tetapi, anda tidak perlu gentar,” kata pengajar seni berusia 37 tahun itu yang bertukar menjadi doktor.
Rakan sukarelawan paramedik, Andriy Kukhar, 38 juga melahirkan pendapat yang sama seperti rakan sekerjanya.
“Ramai yang terkorban. Kami tidak boleh berbuat apa-apa untuk membantu mereka. Tetapi, ini adalah peperangan. Kami tahu ini,” kata Kukhar yang merupakan doktor gigi. -AFP