ISNIN lalu, saya sekali lagi menyusuri laluan Lebuh Raya Pan Borneo dari Sibu/Sarikei ke Kuching. Sudah banyak berubah dan perjalanan makin lancar meskipun di laluan tertentu, ada jalan masih berlopak, tidak rata, mungkin disebabkan hujan lebat sejak kebelakangan ini.
Tetapi pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang berfasa-fasa, belum siap sepenuhya. Fasa 2 yang bermula semula tahun ini dari Limbang ke Lawas hanya dijangka siap pada 2028 iaitu jajaran tanpa melalui Brunei membabitkan Sarawak-Sabah Link Road (SSLR).
Fasa 1 sepanjang 786 kilometer, dari Telok Melano ke Miri, sudah 78 peratus siap, sejak dimulakan pada 2015 yang bernilai RM16.117 bilion meliputi 11 pakej kerja.
Fasa 1 itu sepatutnya siap pada penghujung tahun ini tetapi dijangka mengalami kelewatan, melangkaui suku pertama tahun depan disebabkan pandemik COVID-19 yang memberi kesan ke atas kemajuan kerja dan kos pembinaan projek, seperti kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Bagi sesetengah orang, mungkin masih tidak berpuas hati dengan keadaan lebuh raya Pan Borneo, apatah lagi jika dibandingkan dengan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) meliputi keseluruhan tanah Semenanjung dari Johor di selatan dan Perlis, di utara sepanjang 820 kilometer (km) iaitu lebih kurang sama jarak antara Lundu dan Miri.
Di sepanjang jajaran PLUS, ada 24 Kawasan Rehat Dan Rawat (R&R) yang selesa selain Hentian Sebelah yang disediakan setiap 25 hingga 50 km.
Terdapat banyak kemudahan disediakan terutama di kawasan R&R seperti pam minyak, tempat makan, tandas, mesin ATM, surau, restoran berhawa dingin dan motel lebuhraya selain gerai menjual buah-buahan.
Reka bentuk lebuh raya PLUS dan konsep R&R, dikatakan antara terbaik di dunia.
Penulis pernah menyusuri lebuh raya Washington DC ke New York sejauh 369 km, yang memakan masa kira-kira 6 jam perjalanan tetapi tidak banyak kawasan R&R dan keadaan lebuh rayanya tidak sehebat PLUS. Orang Amerika gelar ‘Rest Stop’ dan antara paling besar ialah ‘Rest Stop’ di Baltimore.
Namun, tidak adil untuk membandingkan Lebuh Raya Pan Borneo dengan PLUS, yang mengenakan bayaran tol kepada pengguna, sekali gus memaksa/mewajibkan pengendali/pemilik PLUS menyediakan kemudahan seperti R&R untuk disewa.
Begitu pun, pihak pengendali Pan Borneo boleh belajar daripada PLUS dari segi penyediaan tempat seperti R&R, untuk keselesaan pengguna pada jarak yang dirasakan munasabah, bukan terlalu jauh atau sekurang-kurangnya ada Hentian Sebelah untuk menempatkan tandas (biar berbayar asal bersih), tempat solat serta gerai menjual minuman ringan dan buah-buahan.
Tetapi mesej sebenar penulisan kali ini ialah mengapa Sarawak masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur berbanding Semenanjung Malaysia?
Mereka di sana sudah tidak lagi menggunakan feri, sedangkan kita di Sarawak masih ‘bergelut’ dengan feri untuk merentas sungai terutama di kawasan pesisir kerana projek pembinaan jambatan, masih dalam pembinaan.
Sepatutnya, 10 atau 20 tahun lalu lagi, kita sudah tidak perlu guna feri. Namun, Sarawak mungkin tiada duit untuk buat projek dengan kos tinggi itu. Jika ada pun, mungkin diagih untuk projek infrastruktur lain di bandar, luar bandar dan pedalaman.
Bayangkan, di Semenanjung rangkaian jalan rayanya agak lengkap.
Terbaharu, sudah siap projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) – ia lebih kurang sama konsep dengan Lebuh Raya Pesisir Sarawak.
WCE memudahkan pengguna jalanraya dari Lembah Klang untuk pulang ke kampung halaman mereka di kebanyakan destinasi penting di Perak seperti Teluk Intan, Lekir, Setiawan, Lumut, Manjung, Changkat Cermin dan Beruas tanpa perlu lagi menyusuri PLUS.
Projek ini bernilai RM5 bilion dan laluannya sepanjang 233 km dengan jumlah 20 plaza tol.
Sebenarnya, Sarawak boleh melengkapkan rangkaian jalan rayanya jika kita diberi peruntukan yang sepatutnya dan adil.
Apakah benar Sarawak masih dianaktiri dengan peruntukan untuk pembangunan yang tidak sepatutnya?
Baru-baru ini, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilaporkan berkata jumlah geran untuk negeri ini tidak seharusnya ditetapkan sebaliknya diberi berdasarkan hasil pendapatan tahunan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, rundingan dengan Kerajaan Persekutuan masih berlangsung untuk mencari formula yang sesuai berkaitan pemberian geran khas tahunan kepada
Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Kami (Sarawak) amat praktikal dan pragmatik. Apabila anda (Kerajaan Persekutuan) meraih keuntungan, anda berkongsi (dengan Sarawak). Ia perlu berasaskan satu formula dan jika keadaan negara tidak begitu baik, kita sama-sama memikul bebannya.
“Jadi, berdasarkan formula itu, jika hasil pendapatan (Kerajaan Persekutuan) berkurangan maka jumlah geran juga akan kurang, anda tidak boleh tetapkan (jumlahnya). (Pada masa sama) Kita juga perlu mengambil berat tentang kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Oleh itu kita perlu rujuk semula kepada intipati Perjanjian Malaysia (MA63). Sarawak adalah satu daripada tiga wilayah (Persekutuan Malaya, Sabah dan Sarawak) yang membentuk Persekutuan Malaysia pada 1963.
Sarawak dan Sabah tidak pernah masuk Malaysia seperti negeri-negeri ini tetapi rakan kongsi membentuk Malaysia.
Ya, rakan kongsi – bermakna peruntukan pembangunan tahunan perlu dibahagi kepada tiga wilayah. Ini baru satu bab. Bab lain turut merangkumi satu pertiga kerusi Parlimen, hak maritim serta ketiadaan wakil Sarawak dan Sabah dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan banyak lagi.
Untuk perkongsian peruntukan pembangunan, contohnya dalam Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ yang dibentangkan November lalu, mempunyai peruntukan berjumlah RM332.1 bilion.
Jika mengikut konsep perkongsian tiga wilayah, Sarawak dan Sabah, masing-masing sepatutnya dapat RM110.7 bilion.
Tetapi Sarawak diagih hanya RM4.67 bilion, manakala Sabah RM5.16 bilion.
Isu agihan & perkongsian antara tiga wilayah ini jugalah sedang dituntut Sarawak setelah berjaya memaksa Petronas membayar cukai jualan ke atas produk petroleum sebelum ini iaitu RM2 bilion bagi 2019. Selepas ini pun Petronas kena bayar setiap tahun kepada Sarawak berdasarkan hasil pendapatan tahunan yang layak untuk dicukaikan.
Bukan sahaja Petronas kena bayar, malah mana-mana syarikat swasta yang menjalankan operasi minyak dan gas di Sarawak perlu bayar cukai jualan – state sales tax (SST).
Sekurang-kurangnya wang cukai itu membantu membina tujuh jambatan dengan kos RM5 bilion.
Pembinaan tujuh jambatan terbabit sudah bermula, iaitu Jambatan Paloh dan Batang Lassa di Daro (kedua-duanya siap awal sebelum 2025 iaitu tahun depan), Jambatan Sungai Krian di Saratok, Jambatan Saribas di Pusa, Jambatan Kemena di Bintulu, dan Jambatan Rambungan di Lundu.
Projek jambatan Batang Lupar dengan kos RM848 juta pula dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025.
Namun, kita bersyukur apabila akhirnya Kerajaan Pusat bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan November lalu yang mengembalikan semangat yang asalnya difikirkan oleh pihak-pihak kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Ia berkuatkuasa Februari lalu.
Ini meletakkan Sarawak sebagai salah satu daripada tiga wilayah dan dianggap tidak mempunyai status yang sama dengan negeri komponen lain dalam Persekutuan Tanah Melayu.
Kita perlu ingat sekali lagi, ada tiga pihak membentuk Malaysia – Sabah, Sarawak & Tanah Melayu. Adakah adil jika peruntukan negara dibahagi sama rata dgn mengiktiraf Sarawak dan Sabah hanya sebagai negeri.
Contoh, bekas Menteri Kewangan pada 2019 dalam ucapan Belanjawan 2020 mengumumkan akan memberi Sarawak geran RM32 juta. Apakah formula digunakan, adakah pembahagian itu mengambil kira Sarawak sebagai satu daripada 3 ‘partner’ atau satu daripada 13 negeri?
Bagaimanapun, kita tidak tahu sebenarnya berapa hasil negara setiap tahun bagi memudahkan Sarawak membuat perkiraan untuk dibahagi kepada tiga pihak.
Sebab itu Sarawak mendesak supaya ada wakil dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya kita tahu berapa banyak duit keluar masuk dan berapa hasil bersih pendapatan negara.
Perenggan 34 Laporan IGC (Jawatankuasa Antara Kerajaan (Inter-Governmental Committee), mengatakan adalah mandatori Sarawak dan Sabah menpunyai wakil dalam LHDN tetapi sehingga kini, tiada wakil dari Sabah dan Sarawak.
Mungkin sudah tiba masanya kita mempunyai wakil dalam LHDN supaya kita tahu berapakah sebenarnya pendapatan negara, supaya kita dapat mengolah formula untuk pembahagian pendapatan itu berdasarkan semangat perjanjian pembentukan Malaysia.
Sebagai anak Malaysia, kita juga mahu melihat warganya menikmati hasil pembangunan negara.
Kita mahu Lebuh Raya Pan Borneo, sekurang-kurangnya setanding Lebuh Raya Utara Selatan dengan taburan kawasan R&R dari Lundu ke Limbang.
Tiada masalah bagi pengguna Lebuh Raya Utara Selatan memandu waktu tengah malam hingga dinihari, kerana lampu ada di tepi sepanjang lebuh raya. Tiada masalah jika lapar, dahaga boleh singgah di mana-mana kawasan R&R yang dibuka 24 jam, malah boleh mandi dan solat atau berehat di motel dengan kadar sewa munasabah.
Kita pun mahu kemudahan sama di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak