SINGAPURA: Singapura mengharamkan filem India yang kontroversi kerana gambaran provokatif dan berat sebelah terhadap umat Islam di Kashmir yang dikhuatiri pegawai boleh mencetuskan ketegangan agama dan etnik di Kota Singa itu.
Filem yang dikeluarkan pada Mac dan salah satu filem India dengan kutipan tertinggi tahun ini, ‘The Kashmir Files’ menggambarkan secara terperinci cara-cara ratusan ribu penganut Hindu melarikan diri daripada militan Islam di Kashmir yang ditadbir India pada 1989 dan 1990.
Filem itu disokong Perdana Menteri Narendra Modi dan dirampas penganut Hindu ekstrem untuk membangkitkan kebencian terhadap minoriti Islam di negara itu.
Pengkritik berkata, ia menangani tema yang dekat dengan agenda politik kerajaan nasionalis Hindu Modi yang sering dituduh meminggirkan dan memburukkan umat Islam.
Pengawal selia media di Singapura enggan mengklasifikasikan filem itu sekali gus tidak boleh ditayangkan.
Menurut pegawai itu dalam kenyataan, keputusan itu adalah kerana filem itu boleh mencetuskan provokasi dan penggambaran berat sebelah terhadap umat Islam dan gambaran penganut Hindu dianiaya.
“Perwakilan (The Kashmir Files) ini berpotensi menimbulkan permusuhan antara masyarakat yang berbeza dan mengganggu perpaduan sosial dan keharmonian agama dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama,” ujarnya.
Penduduk Singapura dengan penduduk seramai 5.5 juta orang kebanyakannya adalah etnik Cina tetapi ia juga mempunyai komuniti besar etnik Melayu Islam dan etnik India Hindu.
Pengarah filem itu, Vivek Agnihotri, mengecam keputusan itu dengan ciapan di Twitter sambil mengatakan bahawa Singapura adalah ‘penapis paling regresif di dunia’.
Negara yang dikawal ketat itu sensitif terhadap apa sahaja yang boleh mencetuskan ketegangan etnik dan agama.
Ia sekali-sekala mengharamkan filem dan penerbitan kerana bimbang akan mencetuskan perpecahan, menyebabkan sesetengah pihak mengejeknya sebagai negeri pengasuh.
Filem ini berkisar tentang seorang pelajar universiti yang mengetahui tentang kematian ibu bapanya pada 1990-an di Kashmir yang majoriti penduduknya beragama Islam, wilayah yang menjadi pertikaian antara India dan Pakistan sejak 1947.
Pemberontakan selama tiga dekad di wilayah itu dengan sokongan Pakistan, menurut New Delhi dan tindak balas keras oleh tentera India membunuh puluhan ribu orang, kebanyakannya Muslim.
Kira-kira 200,000 penganut Hindu Kashmir dikenali sebagai Pandit melarikan diri selepas keganasan bermula pada akhir 1980-an.-AFP