SESAK… Keadaan sesak di LTAK dibanjiri orang ramai yang pulang ke Semenanjung Malaysia dan Sabah selepas menyambut Aidilfitri bersama keluarga di Kuching.
KUCHING: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sejak Jumaat lalu menyaksikan keadaan sesak dengan bilangan besar rakyat Sarawak yang pulang bercuti sempena Aidilfitri sudah mula kembali ke Semenanjung Malaysia dan Sabah.
Ini menyebabkan kesesakan berikutan jumlah orang ramai melebihi kapasiti termasuk ramai yang datang untuk menghantar ahli keluarga masing-masing yang pulang ke Semenanjung Malaysia atau ke Sabah.
Tinjauan Utusan Sarawak di LTAK semalam mendapati kesesakan masih lagi berlaku selepas ketibaan rakyat Sarawak yang bakal berlepas datang lebih awal sebelum waktu penerbangan mereka.
Kebanyakan mereka memilih untuk datang sekitar tiga jam awal daripada waktu berlepas bagi mengelakkan terlepas waktu penerbangan selain disebabkan faktor jalan raya menuju ke LTAK yang sering kali sesak terutama ketika waktu kemuncak.
Difahamkan sejak minggu lalu selepas perayaan Aidilfitri, lebih 30 penerbangan berlepas dari LTAK ke destinasi di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu saban hari dan dianggarkan hampir 10,000 penumpang menaiki penerbangan ke semua destinasi terbabit.
Dalam pada itu, hampir semua jadual penerbangan berjalan seperti biasa dan terdapat beberapa penerbangan kebanyakan ke Semenanjung Malaysia terpaksa ditunda lewat beberapa jam.
Malah, keadaan sesak bukan hanya berlaku di dalam LTAK, namun turut berlaku di tempat letak kereta sehingga memaksa ramai yang meletakkan kenderaan di bahu jalan.
Menurut salah seorang penduduk Sarawak yang ditemui di LTAK semalam, Dayang Suhana Awang, 40, berkata, dia tiba di LTAK seawal 8.00 pagi dari Serian.
Katanya, kebenaran untuk pulang menyambut Aidilfitri pada tahun ini dimanfaatkan sepenuhnya setelah dua tahun tidak meraikan bersama ibu bapa di kampung halaman.
“Alhamdulillah, suami sudah beli tiket secara dalam talian seminggu awal sebelum Hari Raya untuk saya dan dua anak-anak kami.
“Nasib baik ‘flight’ hari ini (semalam) tidak ‘delay’ (ditunda) seperti yang dialami penumpang lain dua tiga hari lepas,” katanya yang pulang ke Seremban, Negeri Sembilan.