KURANG JELAS… Seorang lelaki menyeberangi jalan utama semasa ribut pasir di Baghdad, Iraq. • Foto AFP
BAGHDAD: Lebih 1,000 rakyat Iraq dikejarkan ke hospital akibat penyakit pernafasan akibat ribut pasir, yang ketujuh melanda negara itu pada bulan lalu, kata media kerajaan semalam.
Penduduk di enam daripada 18 wilayah Iraq, termasuk Baghdad dan wilayah barat di Al-Anbar, sekali lagi dilanda awan tebal debu menyelubungi langit.
Pihak berkuasa di Wilayah Al-Anbar dan Kirkuk, utara ibu negara, menggesa orang ramai untuk tinggal di dalam rumah, kata agensi berita rasmi INA.
Hospital di Wilayah Al-Anbar menerima lebih 700 pesakit yang mengalami kesukaran bernafas, kata Anas Qais, seorang pegawai kesihatan yang dipetik oleh INA.
Wilayah tengah Salaheddin melaporkan lebih 300 kes, manakala wilayah tengah Diwaniya dan wilayah Najaf, selatan Baghdad, masing-masing merekodkan kira-kira 100 kes, tambah agensi berita itu.
Iraq terdedah kepada perubahan iklim setelah menyaksikan rekod hujan rendah dan suhu tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pakar berkata, faktor ini mengancam untuk membawa bencana sosial dan ekonomi di negara yang dilanda perang itu.
Pada November tahun lalu, Bank Dunia memberi amaran Iraq mungkin mengalami kejatuhan 20 peratus dalam sumber air menjelang 2050 akibat perubahan iklim.
Pada awal April lalu, seorang pegawai kerajaan memberi amaran Iraq boleh menghadapi ‘272 hari debu’ setahun dalam beberapa dekad akan datang.
Kementerian Alam Sekitar berkata, fenomena cuaca boleh ditangani dengan meningkatkan penanaman tumbuh-tumbuhan dan mewujudkan hutan yang bertindak sebagai penahan angin. -AFP