PERASMIAN… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang dan tetamu kehormat lain melakukan upacara gimik memotong kek pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri N.26 Gedong di sebuah hotel terkemuka di Kuching, semalam.• Foto ANDRE OLIVEIRO
KUCHING: Rundingan dengan Kerajaan Persekutuan masih berlangsung bagi mencari formula yang sesuai berkaitan pemberian geran khas tahunan kepada Sarawak, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Tegasnya, kedudukan Sabah dan Sarawak dalam pemberian khas di bawah perkara 112D Perlembagaan Persekutuan adalah berbeza yang mana Sabah telah bersetuju Kerajaan Persekutuan meningkatkan pembayaran bantuan pemberian khas sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi 2022.
Sambil menegaskan, jumlah geran khas untuk Sarawak juga tidak seharusnya ditetapkan sebaliknya diberi berdasarkan hasil pendapatan tahunan Kerajaan Persekutuan.
“Prinsip saya seperti ini, yang pertamanya adalah jika negara berada dalam keadaan baik, ia mesti dikongsi, tetapi kita harus mempunyai formula tertentu.
“Sabah adalah Sabah, kita Sarawak berbeza… kita mesti berdasarkan prinsip tertentu, you sik boleh berik macam you berik manok, jika negara tidak berjalan dengan baik, masalah itu kita kongsi bersama.
“Inilah prinsipnya, sebab kita tidak mahu jika mereka buat duit, tetapi mereka tidak mahu berkongsi dengan kita,” tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri N.26 Gedong di sebuah hotel terkenal di sini, semalam.
Pada 22 November tahun lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata perjanjian yang lebih baik untuk kedua-dua negeri sedang dibincangkan dengan kerajaan menerusi Jawatankuasa Perundingan Bersama (JCC) mengenai Geran Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Abang Johari menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak amat praktikal dan pragmatik mengenai isu tersebut dan mengambil berat tentang kedudukan kewangan kerajaan persekutuan.
“Ia mesti berdasarkan formula, jika hasil pendapatan kurang, gerannya akan kurang.
“Anda tidak boleh menetapkannya seperti itu, kerana kita juga mesti mengambil berat tentang kedudukan kewangan kerajaan persekutuan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai hasil perbincangan daripada Kerajaan Persekutuan berkenaan dengan perkara itu, Abang Johari berkata, masih belum ada keputusan dan ia masih dalam rundingan.
“Perbincangan yang lepas belum ada keputusan lagi kerana saya bertegas dengan formula.
“Formula ini mesti ada, kalau negeri kita bagus anda kongsilah, kalau negeri kita tidak bagus macam mana hendak minta lebih, tak adil bukan? Jadi ia mesti ada formula,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO